Juara Roland Garros Andreeva tersingkir awal di Bad Homburg

Andreeva tewas di gelanggang rumput.

BERLIN, 24 Jun – Juara Terbuka Perancis, Mirra Andreeva, tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Bad Homburg selepas tewas 6-3, 6-4 kepada rakan senegaranya dari Rusia, Ekaterina Alexandrova, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Andreeva buat penampilan pertama di gelanggang rumput musim ini selepas menarik diri dari Terbuka Berlin untuk fokus persiapan Wimbledon.
  • Alexandrova menguasai permainan dengan memenangi tujuh permainan berturut-turut sebelum mengekalkan rentak hingga tamat perlawanan.
  • Alexandrova mara ke suku akhir untuk menentang bekas pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka.

Andreeva yang menghuni ranking kelima dunia turun beraksi buat kali pertama di gelanggang rumput musim ini selepas menarik diri daripada Terbuka Berlin minggu lalu bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Wimbledon.

Pemain berusia 19 tahun itu pada awalnya memberi tentangan sengit dalam set pertama sebelum Alexandrova menguasai permainan dengan memenangi tujuh permainan berturut-turut dalam cuaca panas di Jerman.

Andreeva turut ketinggalan 0-4 dalam set kedua namun bangkit memenangi tiga permainan berturut-turut untuk merapatkan jurang.

Bagaimanapun, Alexandrova yang berada di ranking ke-19 dunia berjaya mengekalkan rentak permainan sebelum menamatkan perlawanan dalam tempoh satu jam 28 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Alexandrova mara ke suku akhir untuk bertemu bekas pemain nombor satu dunia dari Jepun, Naomi Osaka.

Sementara itu, pilihan utama kejohanan, Iga Swiatek dijadual menentang Emma Navarro dalam satu lagi aksi yang berlangsung kemudian.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.