fb fb fb fb fb

MotoGP Malaysia 2025 tampilkan keterujaan baharu buat peminat

Litar Antarabangsa Sepang (SIC)

SEPANG, 28 Jun – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini giat membuat persiapan untuk perlumbaan MotoGP Malaysia 2025.

Tumpuan diberikan bukan hanya kepada penganjuran acara utama, malah usaha memperkukuh pengalaman peminat serta mencungkil bakat tempatan untuk slot wild card.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Shafriman Hanif, pihaknya masih dalam peringkat persediaan fasiliti dan aktiviti sokongan, namun momentum positif sudah dapat dilihat terutama dalam aspek penjualan tiket.

“Tahun ini kita anggarkan lebih besar daripada tahun lepas. Dari segi penjualan tiket pun nampak agak positif. Ramai yang sudah tempah tiket, jadi harapan kami adalah untuk mencapai ‘sold out crowd’ tahun ini,” katanya kepada media.

Beliau turut menjelaskan bahawa SIC sedang berusaha untuk menempatkan seorang penunggang wild card tempatan dalam MotoGP Malaysia, namun pengesahan rasmi masih belum dibuat.

“Penunggang Wildcard kita untuk tahun ini, insya-Allah kita akan dimaklumkan dalam masa terdekat. Buat masa ini belum ada pengesahan, tetapi kita akan cuba yang terbaik,” ujarnya lagi.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif memperluas keterlibatan peminat, SIC juga bercadang untuk menganjurkan aktiviti istimewa melibatkan pelumba MotoGP sebelum perlumbaan berlangsung.

“Tahun ini kita bercadang untuk buat sesi ‘ride’ bersama penunggang MotoGP di satu lokasi khas yang akan diumumkan nanti. Perancangannya adalah untuk bawa pengalaman itu lebih dekat dengan peminat, seperti yang dilakukan oleh Formula 1,” jelasnya.

SIC sedang bekerjasama dengan Dorna Sports untuk memperkenalkan pelbagai pendekatan baharu yang dapat merapatkan hubungan antara pelumba dan peminat, sekali gus menjadikan MotoGP Malaysia sebuah acara yang lebih mesra dan eksklusif.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai isu Cukai Hiburan yang masih menjadi beban kepada penganjur dan pembeli tiket.

“Kami masih lagi berunding dengan kerajaan negeri untuk pertimbangkan sama ada cukai ini boleh dinilaikan semula atau diberi sedikit potongan.

Kita hanya kutip dan serah balik kepada negeri, jadi harapan kami ada jalan tengah yang boleh dicapai agar tidak membebankan peminat dan pada masa sama tidak jejaskan pendapatan negeri,” katanya.

MotoGP Malaysia 2025 yang dijadualkan pada 24 hingga 26 Oktober dijangka berlangsung dengan skala lebih besar dan inklusif.

Acara itu tidak hanya membawa deruman enjin, tetapi keterujaan baharu untuk peminat seluruh negara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN