LOS ANGELES, 22 Mac- Bekas juara heavyweight dunia, George Foreman, yang terkenal dengan pertarungan ikonik "Rumble in the Jungle" menentang Muhammad Ali pada 1974, meninggal dunia pada usia 76 tahun, menurut kenyataan keluarganya.
"Dengan penuh dukacita, kami mengumumkan pemergian George Edward Foreman Sr pada 21 Mac 2025 dalam keadaan tenang dikelilingi insan tersayang," menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi legenda tinju itu.
Dikenali bukan sahaja sebagai juara heavyweight dunia dua kali, tetapi juga seorang atlet Olimpik dan tokoh kemanusiaan, Foreman dihormati kerana disiplin, keteguhan prinsip, serta usahanya mempertahankan nama baik dan warisannya.
Keluarga Foreman turut berterima kasih atas limpahan doa dan sokongan daripada peminat serta meminta ruang peribadi bagi menghormati kehidupan luar biasa ikon sukan tersebut.-AFP