
DUNGUN, 25 September – Dua juruteknik penyelenggaraan direman sehingga Isnin ini selepas dipercayai cuba mencuri dan membawa keluar 20 keratan kabel elektrik dari sebuah bengkel penyelenggaraan di kawasan perindustrian minyak dan gas di Paka, di sini.
- Suspek ditahan polis bantuan sekitar 11.46 pagi semalam ketika pemeriksaan kenderaan pikap keluar dari kawasan perindustrian.
- Pemeriksaan menemui kabel elektrik seberat tujuh kilogram dalam sebuah beg galas di bawah tempat duduk pemandu.
- Suspek gagal mengemukakan dokumen pemilikan; kenderaan dan barang dirampas, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek berusia 33 dan 36 tahun itu ditahan polis bantuan pada kira-kira 11.46 pagi semalam, ketika pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kenderaan pikap yang dinaiki mereka sebelum keluar dari kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, pemeriksaan di pondok kawalan masuk kawasan perindustrian minyak dan gas di Santong itu menemukan 20 keratan kabel elektrik yang dianggarkan seberat tujuh kilogram.
Menurutnya, kabel berkenaan ditemui di dalam sebuah beg galas yang diletakkan di bawah tempat duduk pemandu.
“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai juruteknik penyelenggaraan di bawah sebuah syarikat kontraktor lain gagal mengemukakan dokumen bagi membuktikan pemilikan kabel berkenaan.
“Mereka kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Nik Ab Halim berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengambil lebihan keratan kabel elektrik yang disimpan di dalam bengkel penyelenggaraan untuk dijual di pasaran luar.
Polis turut merampas kenderaan pikap terbabit, seunit kunci bersama alat kawalan jauh, sebuah beg galas dan 20 keratan kabel elektrik yang dianggarkan bernilai RM200.
Kedua-dua suspek direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.