Produk halal tempatan tembusi pasaran lebih luas menerusi MIHAS 2026

Peserta industri halal, Intan Sorfiana Baddu / Low Kar Yee – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 September – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 terus menjadi platform penting dalam memperluas jaringan perdagangan halal global, sekali gus memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengembangkan potensi sektor halal negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membantu perniagaan menembusi pasaran baharu dan mempertingkat kesedaran jenama serta keyakinan halal pengguna.
  • Memperkenalkan produk buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa, meningkatkan kebanggaan terhadap produk tempatan seperti kimchi Malaysia.
  • MIHAS meningkatkan minat pengunjung dan pelabur, memperkukuh kepercayaan melalui pensijilan halal JAKIM.

Seorang peserta industri halal, Intan Sorfiana berkata, platform ini bukan sahaja membantu perniagaan menembusi pasaran baharu, malah dapat meningkatkan penjenamaan di peringkat antarabangsa.

“Pasaran halal sekarang memang tengah naik. Sebab itu kita perlukan ‘brand awareness’ (kesedaran jenama) dan keyakinan halal dalam hidup pengguna hari ini,” katanya kepada RTM.

Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi peserta industri halal, Low Kar Yee yang berpendapat penyertaan dalam acara ini turut membantu mempromosi barangan buatan Malaysia ke pasaran luar negara.

“Kita harus memperluaskan jenama tempatan ke luar negara supaya orang tahu bahawa kimchi bukan sahaja ada di Korea, tetapi Malaysia pun ada produk kimchi buatan tempatan. Jadi, saya memang bangga menjadi rakyat Malaysia.” katanya lagi.

Pengunjung MIHAS, Hanisjasymah Hamidon / Nurul Fatihah Zulkarnain – Foto RTM

Sementara itu, para pengunjung meluahkan rasa teruja dalam menerokai ekosistem halal secara menyeluruh meliputi makanan, produk sabun dan kosmetik.

Antaranya, Hanisjasymah Hamidon yang menyifatkan MIHAS membuktikan potensi besar jenama tempatan untuk dikembangkan dan diperkenalkan kepada pasaran lebih luas.

“Sebelum ni kita tidak mengetahui bahawa ada syarikat (tempatan) pengeluar ‘seasoning‘ (perasa). Selalu beli tepung ayam goreng di pasaran tempatan. Tapi, sebenarnya ia sedap dan (saya) berpuas hati. Saya harap kerajaan boleh perluaskan lagi untuk bantu syarikat tempatan memperluaskan perniagaan,’ jelasnya lagi.

Seorang lagi pengunjung, Nurul Fatihah Zulkarnain berpandangan, penganjuran MIHAS turut melonjakkan keyakinan pelabur terhadap produk yang mempunyai pensijilan halal.

“Ktia ada sijil halal JAKIM. Jadi, saya rasa itulah yang lebih baik daripada produk luar (kerana) memenuhi standard sebab mengikut cita rasa orang Malaysia yang merangkumi pelbagai kaum,” katanya lagi.

Penganjuran MIHAS 2026 berlangsung dari 23 hingga 26 September, menampilkan 1,700 syarikat dengan 2,400 reruai dan dijangka menarik 50,000 pengunjung dari 45 negara.

Program itu menyasarkan potensi perniagaan melebihi RM5 bilion, selain memperluas akses produk halal Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.