SEPANG, 7 Oktober - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu kesinambungan program Road To Gold (RTG) diberi keutamaan dalam Belanjawan 2026.
Ia sebagai pelaburan strategik untuk memastikan atlet negara kekal berdaya saing menjelang temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles 2028.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata KBS telah mengemukakan senarai keutamaan dan permintaan kepada Kementerian Kewangan, termasuk peruntukan khusus bagi pembangunan atlet berprestasi tinggi, program komuniti sukan dan inisiatif belia luar bandar.
"Kita telah berjumpa dengan Kementerian Kewangan dan kita telah bentangkan semua permintaan Kementerian Belia dan Sukan. Semestinya kita berharap semua permintaan kita boleh ditunaikan. Tetapi saya juga faham Kementerian Kewangan menerima banyak permintaan daripada semua kementerian, tetapi kita juga telah senaraikan keutamaan kita kepada mereka," katanya.
Hannah berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut kepulangan skuad olahraga para negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Menurut beliau, program RTG terbukti berkesan dalam membantu atlet elit mencapai prestasi terbaik di pentas dunia, termasuk kejayaan beberapa atlet kebangsaan pada temasya besar tahun ini.
Justeru, kesinambungan dana program itu penting bagi mengekalkan momentum prestasi mereka menjelang Los Angeles 2028.
Selain RTG, KBS turut menekankan keperluan meneruskan geran padanan sukan, dana sukan komuniti, dan peruntukan pembangunan infrastruktur bagi membolehkan Malaysia terus menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa serta memberi pendedahan kepada atlet pelapis tempatan.
Hannah optimis Belanjawan 2026 akan terus memberi perhatian seimbang terhadap pembangunan sukan dan belia, yang disifatkannya sebagai pelaburan masa depan negara.