Perancis negara terbaharu sekat media sosial untuk kanak-kanak

Perancis menjadi negara terbaharu menggubal undang-undang bagi melarang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah usia 15 tahun. Foto/BERNAMA

PARIS, 27 Januari – Perancis menjadi negara terbaharu menggubal undang-undang bagi melarang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah usia 15 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancis menggubal undang-undang larang kanak-kanak bawah 15 tahun guna media sosial.
  • Langkah diambil kerana kebimbangan terhadap kesan negatif pada kesihatan mental dan pembangunan.
  • Presiden Macron gesa percepatkan kelulusan untuk berkuatkuasa 1 September 2026.
  • Langkah itu susulan tindakan Australia dan serupa dengan cadangan had umur di Malaysia.

Ia berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap impak negatif kepada kesihatan mental dan pembangunan golongan itu.

Rang undang-undang itu diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan Perancis pada Isnin dan akan dibentangkan di Senat untuk kelulusan.

Menyifatkan perundangan itu sebagai langkah tepat dalam melindungi kanak-kanak secara dalam talian, Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa Senat supaya mempercepatkan proses berkenaan.

Ini bagi memastikan larangan tersebut dapat dikuatkuasakan seawal sesi persekolahan akan datang pada 1 September 2026.

“Kerana otak anak-anak kita bukan untuk dijual. Bukan kepada platform Amerika mahupun rangkaian China. Kerana impian mereka tidak boleh ditentukan oleh algoritma.

“Kerana kita tidak mahu generasi yang cemas, sebaliknya generasi yang percaya kepada Perancis, Republik ini, dan nilai-nilainya,” katanya dalam laman X.

Langkah Perancis itu menyusuli undang-undang bersejarah Australia yang mengenakan larangan penggunaan media sosial di seluruh negara bagi kanak-kanak di bawah 16 tahun berkuat kuasa 10 Disember 2025, menjadikannya negara pertama di dunia yang berbuat demikian.

Malaysia turut mengambil pendekatan serupa dengan had umur minimum 16 tahun untuk akses media sosial dijangka dilaksanakan seawal Julai tahun ini.-Bernama