
SAUDARA PENGARANG
- Badan profesional bertindak sebagai force multiplier, menyediakan kepakaran teknikal untuk meningkatkan ketepatan siasatan dan menutup ruang penyalahgunaan.
- Pendekatan proaktif perlu menekankan pencegahan melalui reka bentuk sistem telus, piawaian teknikal ketat dan penguatkuasaan disiplin dalaman.
- Pemanfaatan teknologi digital seperti BIM, analitik data dan penjejakan masa nyata meningkatkan ketelusan, mengurangkan manipulasi dan memperkasa pemantauan rantaian nilai.
Usaha memperkukuh integriti dalam kalangan komuniti profesional negara terus diperkasakan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Perkembangan ini mencerminkan satu pendekatan yang semakin matang dalam menangani isu rasuah, iaitu dengan menggabungkan kekuatan penguatkuasaan dan kepakaran profesional secara lebih bersepadu.
Saya berpandangan bahawa dalam era ekonomi moden yang semakin kompleks, usaha membanteras rasuah tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berasaskan sistem.
Dalam era ekonomi berasaskan teknologi dan rantaian nilai yang semakin dinamik, rasuah juga telah berevolusi kepada bentuk yang lebih terselindung dan sukar dikesan dengan kes-kes bersindikit dengan modus operandi yang kompleks dan tersusun.
Ia tidak lagi sekadar melibatkan transaksi kewangan secara langsung, tetapi turut berlaku dalam bentuk manipulasi digital dan teknikal, kelemahan sistem dan penyalahgunaan kepakaran profesional.
Dalam konteks ini, kerjasama antara SPRM dan BIM menjadi satu pemangkin penting dalam membina ekosistem integriti yang lebih kukuh, khususnya dalam kalangan komuniti profesional yang memainkan peranan besar dalam pembangunan negara.
Malaysia telah menunjukkan peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Namun begitu, pencapaian tersebut masih belum mencukupi untuk meletakkan negara dalam kelompok terbaik dunia.
Malah, persepsi masyarakat masih menunjukkan kebimbangan terhadap tahap rasuah yang dianggap sebagai isu serius.
Ini memberi gambaran bahawa pendekatan sedia ada perlu diperkukuh dengan strategi yang lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek pencegahan dan pembinaan budaya integriti dalam kalangan profesional.
Hakikatnya, rasuah dalam era moden sering berlaku dalam bentuk yang kompleks dan berlapis, terutamanya dalam sektor yang melibatkan kepakaran teknikal.
Dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan, sebagai contoh, isu seperti manipulasi spesifikasi projek, perubahan skop kerja yang tidak munasabah serta penilaian kos yang tidak telus sering menjadi ruang kepada berlakunya penyelewengan.
Dalam sektor logistik dan pembekalan pula, risiko integriti boleh timbul melalui pemilihan vendor yang tidak kompetitif, kelemahan dalam pengurusan rantaian bekalan serta kelewatan penghantaran yang disengajakan.
Dalam sektor pertanian, cabaran termasuk ketirisan dalam pengagihan subsidi, ketidakcekapan pemantauan input dan output serta isu ketelusan dalam rantaian nilai makanan.
Semua ini menunjukkan bahawa rasuah hari ini semakin bersifat teknikal dan memerlukan kefahaman mendalam untuk dikenal pasti dan ditangani dengan berkesan.
Dalam hal ini, BIM memainkan peranan penting sebagai jambatan antara kepakaran teknikal dan usaha penguatkuasaan. Dengan keanggotaan sebanyak 23 badan profesional dengan keahlian sekitar 120 ribu ahli dalam pelbagai disiplin, BIM berupaya menjadi “force multiplier” kepada SPRM.
Kerjasama ini membolehkan pandangan pakar digunakan secara lebih sistematik dalam menilai sesuatu kes, sekali gus meningkatkan ketepatan dan keberkesanan siasatan.
Tanpa penglibatan komuniti profesional, usaha membanteras rasuah dalam sektor teknikal akan sentiasa berhadapan dengan keterbatasan dari segi kefahaman dan analisis.
Saya berpendapat bahawa kekuatan utama kerjasama ini terletak pada keupayaannya untuk mengubah pendekatan daripada reaktif kepada proaktif.
Usaha membanteras rasuah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan selepas sesuatu kes berlaku, tetapi perlu memberi penekanan kepada pencegahan melalui reka bentuk sistem yang lebih telus dan berintegriti.
Dalam hal ini, badan profesional boleh memainkan peranan dalam menetapkan piawaian teknikal yang lebih ketat, memperkukuh kod etika serta memastikan pematuhan melalui mekanisme disiplin dalaman yang berkesan.
Seperti yang pernah dinyatakan oleh Peter Drucker, “Management is doing things right; leadership is doing the right things.” Kolaborasi ini mencerminkan usaha membina sistem yang betul sejak awal, bukan sekadar membetulkan kesalahan yang telah berlaku.
Pada masa yang sama, pendidikan integriti perlu dijadikan asas kepada pembinaan budaya profesional yang lebih kukuh. Integriti tidak boleh dilihat sebagai elemen tambahan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada identiti seorang profesional.
Usaha ini boleh dimulakan sejak di peringkat institusi pengajian tinggi dan diteruskan melalui latihan profesional serta pembangunan kerjaya.
Modul integriti khususnya berkaitan anti rasuah ini, boleh dijadikan sebahagian daripada syarat pensijilan, disepadukan dalam latihan pembangunan berterusan profesional (CPD) seterusnya diwajibkan dalam proses pembaharuan lesen profesional.
Seperti yang diungkapkan oleh Nelson Mandela, “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world.” Dalam konteks ini, pendidikan integriti merupakan asas kepada perubahan budaya jangka panjang.
Selain itu, penggunaan teknologi perlu dimanfaatkan secara optimum dalam usaha pencegahan rasuah. Sistem digital yang membolehkan penjejakan menyeluruh, penggunaan analitik data untuk mengesan anomali serta automasi dalam proses perolehan boleh membantu mengurangkan ruang manipulasi.
Dalam sektor pembinaan, penggunaan Building Information Modelling (BIM) dapat meningkatkan ketelusan dalam perancangan dan pelaksanaan projek melalui integrasi data reka bentuk, kos dan jadual kerja.
Dalam sektor logistik, sistem pemantauan masa nyata mampu memastikan ketelusan rantaian bekalan. Dalam sektor pertanian pula, pendekatan berasaskan data boleh meningkatkan ketelusan dalam pengagihan subsidi dan pemantauan pengeluaran.
Pendekatan berasaskan teknologi ini bukan sahaja mengurangkan risiko rasuah, malah meningkatkan kecekapan dan daya saing negara.
Dari sudut penguatkuasaan, kerjasama antara SPRM dan badan profesional boleh diperkukuh melalui mekanisme tindakan bersama yang lebih tersusun. Ini termasuk perkongsian maklumat, penglibatan pakar sebagai saksi teknikal serta penyelarasan tindakan disiplin antara pihak berkuasa dan badan profesional.
Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses siasatan, malah meningkatkan kredibiliti keputusan serta keyakinan masyarakat terhadap sistem tadbir urus negara.
Saya berpandangan bahawa kerjasama ini perlu dilihat sebagai asas kepada pembinaan satu ekosistem integriti nasional yang melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, sektor swasta, badan profesional dan masyarakat.
Integriti tidak boleh bergerak secara silo, sebaliknya perlu menjadi agenda bersama yang disokong oleh dasar yang jelas, sistem yang telus dan budaya kerja yang berteraskan nilai.
Sebagai penutup, saya berpendapat bahawa sinergi antara SPRM dan BIM, yang kini diperkukuh melalui pemeteraian MoU strategik, merupakan satu langkah ke hadapan yang signifikan dalam usaha membina Malaysia yang lebih berintegriti.
Seperti yang diungkapkan oleh Mahatma Gandhi, “Be the change that you wish to see in the world.” Perubahan ke arah negara bebas rasuah tidak akan berlaku secara spontan, tetapi memerlukan komitmen berterusan, kerjasama strategik dan kesediaan untuk membina sistem yang lebih telus dan berdaya tahan.
Jika sinergi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, Malaysia bukan sahaja berupaya mengurangkan rasuah, tetapi juga mampu membina asas tadbir urus yang kukuh dan diyakini oleh semua lapisan masyarakat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Mohd Desa Hassim
Perunding Latihan Kanan
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
e-mail: mdesa@intanbk.intan.my