Kos logistik, premium insurans sebabkan kenaikan harga minyak

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 9 April – Kenaikan harga minyak di Malaysia susulan konflik Asia Barat turut didorong premium risiko dan kos logistik yang melonjak bukan berpunca daripada kekurangan bekalan semata-mata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laluan bekalan utama seperti Selat Hormuz dan Terusan Suez masih berfungsi; penghantaran minyak ke Malaysia tidak terhenti.
  • Minyak yang dibeli sebelum perang tersangkut dan dialihkan ke Pengerang, menyebabkan kos insurans dan pengangkutan meningkat melebihi 100 peratus.
  • Hubungan baik dengan Iran membolehkan kapal Petronas melintasi laluan dengan selamat.
  • Kerajaan yakin strategi berkesan dan pengurusan pengangkutan mampu mengekalkan rantaian bekalan serta melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun laluan utama bekalan bahan api itu masih berfungsi dan penghantaran minyak ke Malaysia tidak terhenti, kos sebenar meningkat ketara akibat faktor insurans dan pengangkutan.

“Minyak yang asalnya sepatutnya rendah kosnya kini meningkat akibat faktor ini. Laluan bekalan utama seperti Selat Hormuz dan Terusan Suez masih berfungsi, malah hubungan baik dengan Iran membolehkan kapal Petronas melepasi laluan dengan selamat dan akan tiba ke Pengerang dalam beberapa hari lagi.

“Kos sebenar meningkat kerana minyak yang dibeli sebelum perang kini tersangkut dan terpaksa dialihkan ke Pengerang, sekali gus meningkatkan kos insurans dan caj pengangkutan melebihi 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Pengangkutan di Dewan Sentral RAC di sini hari ini.

Walaupun Selat Hormuz hanya menyumbang 20 peratus daripada keseluruhan bekalan minyak dan gas negara, langkah kerajaan dan kecekapan pengurusan sektor pengangkutan memastikan negara tetap dapat mengurus rantaian bekalan dengan baik.

Dengan strategi yang berkesan dan hubungan diplomatik yang kukuh, kerajaan yakin Malaysia mampu menghadapi cabaran harga minyak global tanpa menjejaskan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.