
KUALA LUMPUR, 1 Februari – Mekanisme agihan subsidi kerajaan Uzbekistan berjumlah AS$100 bagi setiap pelancong dari Malaysia dan Indonesia kepada syarikat pelancongan tempatan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
- Uzbekistan perkenal subsidi AS$100 kepada syarikat pelancongan untuk menarik pelancong dari Malaysia dan Indonesia.
- Inisiatif disasarkan meningkatkan pelancong dari Malaysia dan Indonesia kepada 100,000 orang bagi 2026-2027.
- Pengukuhan laluan penerbangan dan kerjasama pelancongan, termasuk program Umrah Plus, untuk memudahkan pergerakan pelancong.
Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev berkata, subsidi itu dijangka dapat merancakkan sektor pelancongan negara tersebut di bawah program Umrah Plus, selain memperkukuh kerjasama pelancongan antara tiga negara berkenaan.
Menurutnya, inisiatif itu sejajar dengan sasaran kerajaan Uzbekistan untuk meningkatkan jumlah pelancong dari Malaysia dan Indonesia kepada
100,000 orang bagi tempoh 2026 hingga 2027.
“Dengan potensi kerjasama yang ada, saya yakin sasaran ini boleh dicapai. Malaysia mempunyai potensi besar dengan jumlah penduduk melebihi 35 juta orang, termasuk lebih 23 juta Muslim.
“Indonesia pula memiliki pasaran yang sangat besar dengan hampir 280 juta penduduk. Justeru, kita mampu menarik lebih ramai pelancong dari kedua-dua negara ini,” katanya kepada RTM.
Beliau memaklumkan, langkah membuka laluan penerbangan baharu sedang dipertingkatkan bagi mengukuhkan jaringan penerbangan dan memudahkan pergerakan pelancong antara negara terlibat.
Kira-kira 12,500 pelancong dari Malaysia ke Uzbekistan direkodkan pada 2025, meningkat berbanding hanya 4,300 orang pada 2023.
Sementara itu, jumlah pelancong dari Uzbekistan ke Malaysia mencecah sekitar 20,000 orang pada 2025.
“Saya sentiasa menggalakkan pengendali pelancongan di Uzbekistan supaya datang ke Malaysia untuk mempelajari pengalaman negara ini, khususnya dalam pembangunan pelancongan mesra Muslim.
“Malaysia merupakan peneraju dalam kategori negara mesra Muslim,” katanya lagi.