
BANGI, 12 Mei – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) memainkan peranan penting sebagai benteng dalam membantu dan melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan pelbagai krisis global, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.
- Pelaksanaan pendekatan 3C: cekap dan cepat, cermat serta canggih.
- Permohonan dan kelulusan pembiayaan disasarkan diproses dalam tempoh tujuh hari.
- Cermat: teliti permohonan dan beri bimbingan supaya usahawan tidak terbeban hutang.
- Galak usahawan menceburi sektor berteknologi tinggi termasuk kecerdasan buatan dan digital.
Beliau berkata dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, TEKUN Nasional kini memikul tanggungjawab lebih besar bagi memastikan usahawan, khususnya Bumiputera, terus bertahan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Memang kita menghadapi pelbagai jenis cabaran, antaranya yang kadangkala berada di luar kawalan negara seperti krisis geopolitik, geoekonomi, gangguan bekalan minyak dan tenaga, perang perdagangan serta lain-lain cabaran global.
“Andalah (TEKUN Nasional) yang menjadi benteng barisan hadapan untuk bukan sahaja melindungi mereka (usahawan), malah membantu melonjakkan perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026, di sini semalam.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Sim mencadangkan TEKUN Nasional mengamalkan pendekatan 3C iaitu cekap dan cepat, cermat serta canggih, bagi memastikan ia terus relevan dan dapat memainkan peranannya membantu usahawan PMKS dengan lebih berkesan.
Beliau berkata dari segi cekap dan cepat, permohonan serta kelulusan pembiayaan perlu diproses dalam tempoh sesingkat mungkin.
“Kalau dulu dia mungkin perlukan dua minggu hingga sebulan ataupun sebulan lebih, tetapi sekarang ia (perlu diselesaikan dalam tempoh) tujuh hari,” katanya.
Mengenai elemen cermat, Sim berkata TEKUN perlu meneliti setiap permohonan bagi mengelakkan usahawan dibebankan dengan hutang yang tidak mampu dibayar.
“Beri bimbingan kepada semua usahawan di bawah TEKUN Nasional supaya mereka boleh berjaya dalam bisnes masing-masing dan akhirnya mampu membayar hutang kepada TEKUN,” katanya.
Beliau berkata aspek ketiga iaitu canggih pula menuntut TEKUN Nasional membantu usahawan menceburi sektor berteknologi dan bernilai tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan digital.
Pada Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026, Sim meraikan dedikasi dan sumbangan warga TEKUN Nasional dalam memperkasakan perniagaan di Malaysia dengan sebanyak lima kategori anugerah disampaikan kepada 247 penerima. – BERNAMA