
KUALA LUMPUR, 12 Mei– Malayan Banking Bhd (Maybank) melancarkan SME Perkasa, inisiatif pembiayaan khusus bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengurus peningkatan kos serta tekanan aliran tunai dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar.
- Maybank komited menyediakan kelulusan pembiayaan RM1 bilion dalam 12 bulan; setiap PKS boleh memohon sehingga RM1 juta, dengan penangguhan pembayaran prinsipal enam bulan.
- Proses kelulusan dipercepatkan, pengeluaran dana dalam tempoh 48 jam selepas dokumen lengkap; menggunakan data transaksi dan hubungan perbankan sedia ada.
- Inisiatif terbuka kepada pelanggan PKS sedia ada Maybank dalam 10 sektor keutamaan termasuk logistik, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan kurier.
- Menyediakan sokongan khidmat nasihat dan menyokong strategi ROAR30 Maybank, mensasarkan mobilisasi pembiayaan PKS RM100 bilion menjelang 2030.
Maybank dalam kenyataan memaklumkan pihaknya komited menyediakan kelulusan pembiayaan berjumlah RM1 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan setiap perniagaan yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM1 juta serta penangguhan bayaran prinsipal selama enam bulan.
Antara ciri utama SME Perkasa ialah proses kelulusan dan pengeluaran dana yang dipercepatkan, membolehkan PKS yang layak menerima dana dalam tempoh 48 jam selepas semua dokumen dilengkapkan.
“Ia dilaksanakan menerusi aliran kerja penilaian kredit pantas yang memanfaatkan data transaksi serta hubungan perbankan sedia ada pelanggan dengan Maybank bagi mempercepatkan proses penilaian.”
“Ini membolehkan PKS bertindak pantas terhadap keperluan aliran tunai segera dan tekanan operasi, tanpa menjejaskan disiplin kredit,” jelas Maybank dalam kenyataan sama.
Inisiatif tersebut terbuka kepada pelanggan PKS sedia ada Maybank dalam 10 sektor keutamaan yang terkesan oleh keadaan semasa.
Ini termasuk logistik, pengedaran borong, pembinaan, rantaian bekalan makanan, logam fabrikasi dan barangan industri, pengusaha stesen minyak, pertanian, perabot, pengimport jentera serta perkhidmatan kurier.
PKS daripada sektor lain juga boleh memohon, tertakluk kepada penilaian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata akses kepada pembiayaan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kelajuan mendapatkan dana juga amat penting dalam persekitaran semasa.
“Menerusi SME Perkasa, kami mengutamakan kedua-duanya bagi memastikan perniagaan memperoleh pembiayaan yang diperlukan dalam tempoh 48 jam, di samping sokongan khidmat nasihat untuk membantu mereka bertindak pantas dan kekal berdaya tahan,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif itu turut menyokong aspirasi pembiayaan PKS Maybank di bawah strategi ROAR30, yang menyasarkan mobilisasi RM100 bilion pembiayaan PKS menjelang 2030, sekali gus memperkukuh peranan bank tersebut dalam menyokong tulang belakang ekonomi Malaysia.
Maybank turut menawarkan pilihan bantuan kewangan lain kepada pelanggan individu dan PKS di bawah Skim Bantuan Kewangan Maybank.