Pasaran buruh Malaysia kekal stabil, kadar pengangguran tidak berubah pada 2.9 peratus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Mac 2026 dengan kadar pengangguran tidak berubah pada 2.9 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prospek ekonomi positif menyokong kestabilan pasaran buruh dan menyumbang kepada peningkatan tenaga buruh.
  • Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus; bilangan penduduk bekerja meningkat sedikit.
  • Sektor perkhidmatan terus penyumbang utama pekerjaan, namun pertumbuhan dijangka sederhana dan terjejas faktor luaran.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prospek ekonomi yang positif telah membantu mengekalkan kestabilan pasaran buruh negara, dengan peningkatan tenaga buruh sebanyak 0.1 peratus kepada 17.31 juta orang.

“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.

“Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja turut mencatat peningkatan sederhana sebanyak 0.1 peratus kepada 16.80 juta orang berbanding 16.79 juta pada Februari 2026.

“Namun, bilangan penganggur meningkat sedikit sebanyak 0.4 peratus kepada 509,000 orang. Walaupun begitu, kadar pengangguran kekal stabil pada 2.9 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kategori pekerja yang merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja juga mencatatkan peningkatan sederhana 0.04 peratus, mencecah seramai 12.60 juta orang.

Sementara itu, bilangan yang bekerja sendiri meningkat 0.3 peratus kepada 3.14 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

Dari segi sektor, perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar guna tenaga, khususnya dalam aktiviti penginapan dan makanan, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.

Mengulas prestasi suku pertama 2026, katanya pasaran buruh negara terus mencatat pertumbuhan positif, dengan tenaga buruh meningkat 0.3 peratus kepada 17.23 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja naik kepada 16.73 juta orang.

“Bilangan penganggur menurun 0.4 peratus kepada 506,500 orang, sekali gus membawa kepada pengurangan 0.1 mata peratus dalam kadar pengangguran kepada 2.9 peratus, berbanding 3.0 peratus pada suku sebelumnya,” katanya lagi.

Tambah beliau, prospek pasaran buruh negara juga dijangka kekal stabil dalam tempoh akan datang, disokong oleh asas domestik yang kukuh serta transformasi ekonomi yang berterusan.

Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka lebih sederhana dan dipengaruhi faktor luaran seperti ketidaktentuan geopolitik serta krisis tenaga global.

Sehubungan itu, keupayaan penyesuaian tenaga kerja dan perniagaan dilihat penting dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang lebih mencabar.