
KOTA KINABALU, 24 September – Peningkatan pendapatan pekebun kecil sawit, perlu menjadi antara ukuran utama kejayaan industri komoditi negara, bukan hanya berdasarkan pencapaian eksport.
- Peranan KPK dan MPOB membantu pekebun kecil melalui input, nasihat dan perkongsian penyelidikan untuk tingkatkan produktiviti serta kualiti hasil.
- Penekanan kualiti serta pengukuhan MSPO dan sistem kebolehlaksanaan perlu buka akses pasaran antarabangsa dan beri nilai tambah.
- Persidangan dwitahunan jadi platform perkongsian teknologi, bantuan kerajaan dan pengalaman industri untuk memperkasakan pekebun kecil.
Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam merealisasikan hasrat tersebut termasuk kerajaan, agensi berkaitan dan pekebun kecil.
“Peranan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga penting bagi membantu golongan pekebun kecil meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil seperti bantuan input, khidmat nasihat serta perkongsian penyelidikan.
“Matlamat utama ialah memastikan hasil sawit berkualiti tinggi sekali gus membantu meningkatkan pendapatan keluarga pekebun kecil,” katanya.
Tambah beliau, aspek kualiti hasil turut diberi penekanan bagi memastikan produk sawit negara memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
“Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sistem kebolehlaksanaan perlu diperkukuh bagi membuka ruang lebih luas kepada produk sawit Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.
“Pendekatan ini secara tidak langsung mampu memberi nilai tambah kepada hasil sawit seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pekebun Kecil Sawit 2026 di sini, hari ini.
Persidangan dwitahunan itu, menjadi platform perkongsian teknologi, bantuan dan insentif kerajaan serta pengalaman pemain industri kepada pekebun kecil.
Datuk Seri Dr. Noraini berkata, persidangan menghimpunkan hampir 800 peserta dari seluruh negara bagi mendapatkan pendedahan mengenai perkembangan teknologi serta manfaat yang ditawarkan melalui KPK dan MPOB.
“Pemain industri turut berkongsi pengalaman dan kepakaran menerusi pelbagai sesi pembentangan, bengkel serta aktiviti yang disusun sepanjang dua hari program berkenaan,” ujarnya.
Pada persidangan sama, turut berlangsung pelancaran Sistem Kod Amalan Baik Tapak Semaian untuk Tapak Semaian Sawit; pelancaran Buku Standard Operating Procedure berkaitan bancian kumbang penyerbuk; pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOB dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA); serta penyampaian Anugerah Industri Sawit Malaysia 2025/2026 bagi Kategori Pekebun Kecil dan Koperasi Penanam Sawit Mampan.