
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kemajuan projek pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak lagi diukur berdasarkan sumbangan ekonomi semata-mata.
- Penilaian projek merangkumi integrasi ruang, impak sosial, kesan alam sekitar dan tadbir urus.
- Pemaju selaras keutamaan serantau dan pulangan sosial dan alam sekitar akan menerima sokongan lebih kukuh, termasuk kelulusan lebih pantas, penyelarasan infrastruktur dan akses pembiayaan.
- Kajian reformasi sektor pembinaan dilaksanakan melibatkan keseluruhan kitaran projek di bawah RMK13.
- Reformasi perumahan fokus pada bekalan mampu milik berkualiti, pemilikan dipertingkat melalui skim pembiayaan dan pengurusan berkesan.
Malah di bawah kerangka penilaian baharu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, projek terlibat bakal dinilai dari aspek integrasi ruang, impak sosial, kesan alam sekitar dan tadbir urus.
”Pemaju yang melaksanakan projek selaras keutamaan serantau serta menunjukkan pulangan sosial dan alam sekitar yang jelas akan menerima sokongan yang lebih kukuh.
”Antaranya melalui kelulusan lebih pantas, penyelarasan infrastruktur dan akses kepada kemudahan pembiayaan,”jelasnya dalam ucaptama sempena Sidang Kemuncak Hartanah dan Pembinaan Malaysia 2026.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan akan melaksanakan kajian reformasi sektor pembinaan melibatkan keseluruhan kitaran projek di bawah RMK13.
Inisiatif itu bertujuan menstruktur semula dan menambah baik industri pembinaan negara menerusi rangka kerja perundangan serta kawal selia yang lebih komprehensif.
Rangka kerja itu, meliputi aspek pembinaan, pengurusan aset, infrastruktur serta perkhidmatan profesional pembinaan.
Pada masa sama, reformasi perumahan kekal, keutamaan dalam RMK13 bagi menangani kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
”Reformasi itu, memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan bekalan perumahan mampu milik yang berkualiti, sesuai didiami dan inklusif.
”Selain itu, pemilikan rumah turut dipertingkat menerusi skim pembiayaan yang lebih baik, memperkukuh kecekapan peraturan dan pengurusan sektor perumahan,” katanya.