Emas kekal relevan sebagai pelindung nilai ketika ekonomi tidak menentu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Emas terus dilihat sebagai antara instrumen pelaburan yang relevan serta berfungsi sebagai pelindung nilai ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan, kadar inflasi tinggi dan turun naik mata wang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Emas membantu lindungi kewangan kerana nilainya meningkat ketika inflasi, mengurangkan kesan susut nilai simpanan tunai.
  • Sesuai untuk simpanan jangka panjang dan mempelbagaikan portfolio pelaburan individu.
  • Akses pelaburan emas kini mudah melalui akaun emas, sijil, ETF dan aset digital berasaskan emas.
  • Berhati-hati terhadap skim pulangan tinggi, pilih platform sah, patuh syariah dan disokong sandaran emas sebenar.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Prof. Datuk Dr. Aznan Hasan berkata, dalam situasi ekonomi mencabar, emas sering menjadi pilihan kerana nilainya lebih stabil berbanding simpanan tunai.

Menurut beliau, kenaikan harga barangan dan penyusutan nilai mata wang boleh menjejaskan kuasa beli sekiranya simpanan hanya disimpan dalam bentuk wang.

“Jika kita menyimpan dalam bentuk wang tunai, inflasi akan menyebabkan nilainya susut, tetapi emas tidak. Apabila inflasi berlaku, nilai emas turut meningkat.

“Jadi, pelaburan emas dapat membantu melindungi kewangan kita,” katanya pada Persidangan Pelaburan Islam di Dewan Persidangan Bursa Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, emas bukan sahaja sesuai dijadikan simpanan jangka panjang, malah berperanan membantu individu mempelbagaikan portfolio pelaburan.

Tambahnya, akses kepada pelaburan emas kini semakin mudah melalui pelbagai platform moden termasuk akaun pelaburan emas, sijil emas, Dana Dagangan Bursa (ETF) serta aset digital berasaskan emas.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan emas yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Pelabur perlu memastikan platform yang disertai adalah sah, patuh syariah dan disokong oleh sandaran emas yang benar-benar wujud,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.