
KUALA LUMPUR, 4 September – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dilihat memberi ruang kepada kerajaan meneruskan usaha mengurangkan defisit negara tanpa menambah tekanan kos pinjaman kepada isi rumah dan perniagaan.
- Memberi kebolehan kepada isi rumah dan perniagaan merancang kewangan serta perbelanjaan dengan lebih baik.
- Membuka ruang bagi kerajaan memperkukuh kedudukan kewangan menjelang Belanjawan 2027 melalui perbelanjaan bersasar, subsidi tepat dan pembangunan.
- Menyokong keyakinan pelabur dengan mengurangkan ketidakpastian kos modal dan permintaan domestik, walau ringgit masih dipengaruhi faktor luaran.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata, kadar yang kekal stabil membolehkan isi rumah dan perniagaan merancang kewangan serta perbelanjaan dengan lebih baik.
Menurutnya, keadaan itu turut memberi ruang kepada kerajaan memperkukuh kedudukan kewangan negara menjelang pembentangan Belanjawan 2027 menerusi langkah yang lebih terancang.
“Kerajaan mempunyai ruang yang lebih selesa untuk menjadikan perbelanjaan 2027 lebih bersasar, khususnya bagi agihan bantuan kos sara hidup, pelaksanaan subsidi bersasar serta perbelanjaan pembangunan.
“Namun, pertumbuhan ekonomi enam peratus tidak seharusnya menjadi alasan untuk melonggarkan disiplin fiskal. Sebaliknya, ketika ekonomi berada dalam keadaan kukuh, usaha mengurangkan defisit lebih mudah dilaksanakan,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata, pengekalan OPR pada 2.75 peratus turut memberi kesan positif terhadap keyakinan pelabur kerana langkah itu membantu mengurangkan ketidakpastian berkaitan kos modal dan prospek permintaan domestik.
Pada masa sama, keputusan BNM itu menyokong keyakinan terhadap keadaan ekonomi Malaysia, meskipun pergerakan ringgit dalam jangka pendek masih dipengaruhi faktor luaran.
Antara faktor berkenaan ialah hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat, kekuatan dolar AS, aliran modal global, harga komoditi serta perkembangan geopolitik.