
KUALA LUMPUR, 5 Sept – Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan membuka kempen Piala Remaja Asia 2026 dengan bergaya selepas membelasah Kazakhstan 8-0 pada aksi pertama Kumpulan B di Moqi, China, hari ini.
- Ketua jurulatih Nor Saiful berkata masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki walaupun pasukan tampil dominan.
- Rahul Fazrien Nazrien meledak dua gol padang, termasuk gol pembukaan pada minit pertama perlawanan.
- Safwan Salihe, Faiz Afnan Faizal, Muhammad Aizat Akhera, Gagandeep Singh, Shafiq Ammar Fahmi dan G. Dheeressh turut menjaringkan gol.
- Jadual seterusnya: Bangladesh esok, Pakistan 8 Sept dan China 9 Sept; hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara separuh akhir.
Namun, Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki meskipun Young Tigers tampil dominan dan sukar ditandingi lawan.
Dalam aksi di Moqi Training Base itu, Malaysia hanya memerlukan seminit untuk membuka tirai jaringan menerusi gol padang Rahul Fazrien Nazrien.
Safwan Salihe kemudian menggandakan kelebihan negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-32 sebelum Rahul sekali lagi meledak gol padang seminit kemudian.

Pasukan kendalian Nor Saiful terus menambah derita Kazakhstan menerusi jaringan padang Faiz Afnan Faizal pada minit ke-39 dan Muhammad Aizat Akhera lima minit selepas itu.
Gawang Kazakhstan terus dibolosi pada babak kedua apabila Gagandeep Singh menjaringkan gol padang pada minit ke-48, diikuti Shafiq Ammar Fahmi tiga minit kemudian sebelum G. Dheeressh melengkapkan kemenangan 8-0 dengan jaringan pada minit akhir perlawanan.

Malaysia, yang pernah menjuarai kejohanan itu pada edisi 2012, akan meneruskan saingan menentang Bangladesh esok sebelum berdepan juara tiga kali Pakistan pada 8 Sept dan tuan rumah China pada 9 Sept.
Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.