Skuad Bunga Raya 7s mara ke separuh akhir di Qingdao

Foto RTM

QINGDAO, 6 September – Skuad Bunga Raya 7s bawah 18 tahun (B18) lelaki dan wanita negara mara ke separuh akhir pada Kejohanan Asia Rugby Emirates U18 Sevens 2026, selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan hari pertama di Qingdao, China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad lelaki: menang ke atas India 24-7 dan Sri Lanka 22-7, tewas kepada Hong Kong 14-31; tamat kumpulan di tempat kedua.
  • Mohd Syahir memuji disiplin pemain, namun mereka bergelut dengan positioning menentang Hong Kong.
  • Pasukan fokus pada pemulihan hari kedua dan penambahbaikan taktikal terutamanya bahagian kiri dan kanan.
  • Skuad wanita: menang India 38-12 dan UAE 19-12, tewas tipis 14-15 kepada Hong Kong; berdepan China pada 10.40 pagi.

Skuad lelaki kendalian Mohd Syahir Asraf Rosli membuka kempen dengan dua kemenangan ke atas India 24-7 dan Sri Lanka 22-7, sebelum tewas kepada Hong Kong China 14-31.

Bagaimanapun, Mohd Syahir memuji disiplin dan prestasi anak buahnya yang berjaya menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua.

“Saya harus memberikan pujian yang baik kepada semua pemain yang menunjukkan tahap prestasi dan disiplin yang tinggi. Walaupun dalam perlawanan ketiga menentang Hong Kong, saya rasa mereka sedikit ‘struggle’ untuk menyesuaikan rentak permainan apabila mempunyai ‘positioning’.

“Apa-apa pun, kita kurang bernasib baik berdepan Hong Kong menyebabkan pasukan Malaysia berada di tempat kedua,” katanya di sini.

Menghadapi aksi separuh akhir, Mohd Syahir berkata aspek pemulihan dan beberapa kelemahan taktikal akan diberi perhatian.

“Apa yang kami sebagai satu pasukan fokus adalah, pertama, pemulihan untuk hari kedua.

“Selain itu, kami juga akan membuat sedikit ulasan dan penambahbaikan daripada segi strategi, khususnya melibatkan bahagian kiri dan kanan pasukan,” katanya.

Malaysia dijadualkan berdepan sama ada Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau China pada pukul 12.45 tengah hari ini.

Sementara itu, skuad wanita kendalian Rozliana Ridwan turut melangkah ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan ke atas India 38-12 dan UAE 19-12, namun tewas tipis 14-15 kepada Hong Kong.

Skuad wanita negara akan berdepan China pada pukul 10.40 pagi ini bagi aksi separuh akhir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.