
KUALA LUMPUR, 6 September – Keadaan jerebu di beberapa kawasan Sarawak menjadi antara pertimbangan dalam menentukan pelaksanaan acara luar sempena sambutan Hari Malaysia yang dijadual berlangsung di negeri berkenaan pada 16 September.
- Jawatankuasa akan mendapatkan pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk tentukan pelaksanaan acara.
- Keputusan mengenai acara luar akan berdasarkan panduan jabatan kesihatan dan nasihat jawatankuasa.
- Sambutan utama malam akan diteruskan di Borneo Convention Centre Kuching dengan jangkaan lebih 5,000 hadirin.
- Persiapan berjalan baik dan hanya menunggu sesi raptai beberapa hari sebelum acara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata jawatankuasa sambutan akan mendapatkan pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berhubung pelaksanaan acara tersebut.
“Di Sarawak, terdapat 10 bahagian yang akan melakukan siri program atau pameran yang tertakluk kepada keadaan cuaca kerana kita tahu hari ini keadaan cuaca di seluruh negeri Sarawak ada beberapa kawasan atau bahagian yang terkesan akibat jerebu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Barakah Pit Stop di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, di sini.
Datuk Seri Fahmi berkata, pihak jawatankuasa akan mendapatkan panduan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sebelum menentukan sama ada mana-mana acara, khususnya yang diadakan di luar bangunan, boleh diteruskan.
“Jadi pihak jawatankuasa sambutan Hari Malaysia akan mengambil panduan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan juga kita akan memberikan nasihat sekiranya mana-mana acara terutama yang terletak di luar bangunan akan diteruskan ataupun tidak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan utama Hari Malaysia pada sebelah malam 16 September akan diteruskan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
“Dijangka lebih 5,000 orang akan hadir. Ada juga acara sisipan beberapa program termasuk di Plaza Merdeka dan kita juga akan mengadakan pameran tentang sejarah pembentukan Malaysia di beberapa tempat termasuk di Putrajaya dan juga di Kota Kinabalu,” jelasnya.
Beliau berkata persiapan sambutan kini berjalan dengan baik dan hanya menunggu sesi raptai yang akan diadakan beberapa hari sebelum 16 September.