
LABUAN, 6 September – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus memperkukuh peranannya dalam membangunkan masyarakat luar bandar menerusi program keusahawanan yang bukan sahaja meningkatkan kemahiran peserta, malah berpotensi membuka ruang kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan KEMAS.
- KEMAS mesti terus berevolusi dan menambah baik perkhidmatan untuk memastikan pembangunan masyarakat luar bandar selari dengan arus pembangunan negara.
- Perkasa pendidikan awal melalui program pra-tahfiz, Smart Classroom dan kelas khas bagi memberi pendedahan al-Quran dan pendidikan holistik.
- Latihan kemahiran masakan dan sokongan peralatan bagi usahawan luar bandar untuk hasilkan roti kampung dan jadi pembekal kepada tabika.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, program latihan kemahiran yang disediakan jabatan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain dan boleh dimanfaatkan untuk melengkapkan ekosistem keusahawanan masyarakat.
Menurut beliau, peserta yang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang masakan misalnya, berpeluang dikembangkan sebagai usahawan yang membekalkan produk makanan kepada institusi KEMAS.
“Dalam ekosistem KEMAS, kami juga mempunyai program latihan kemahiran untuk peserta-peserta di luar bandar dalam bidang masakan.
“Usahawan-usahawan ini dibekalkan peralatan seperti ketuhar industri dan pengadun makanan bagi membolehkan mereka menyertai Program Roti Kampung KEMAS, sekali gus menjadi pembekal roti kepada TABIKA untuk keperluan kanak-kanak,” katanya.
Pendekatan itu bukan sekadar membantu memperkasa kemahiran dan pendapatan usahawan, malah mewujudkan ekosistem ekonomi setempat yang saling melengkapi antara program latihan, keusahawanan dan keperluan institusi KEMAS.
Di samping itu, KEMAS turut memberi penekanan kepada pendidikan awal kanak-kanak menerusi pelaksanaan pra tahfiz yang bermula sebagai projek rintis pada 2023.
Di Labuan, sebanyak 15 kelas pra tahfiz melibatkan 216 kanak-kanak kini memberi pendedahan kepada pendidikan al-Quran, selain sebuah kelas Smart Classroom dan sebuah kelas TABIKA Tunas Istimewa.
KEMAS Labuan kini mengendalikan 21 buah TABIKA dan dua TASKA yang menempatkan 458 kanak-kanak.