
KUALA LUMPUR, 6 September – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) dengan meningkatkan kefahaman berkaitan tenaga, khususnya kepada komuniti di luar bandar.
- Inisiatif bertujuan mewujudkan kesedaran pengurusan tenaga, galakkan penggunaan elektrik cekap dan selamat serta libat urus dua hala dengan komuniti.
- Literasi tenaga ialah asas penting supaya masyarakat membuat pilihan tenaga lebih bijak dan menyokong agenda peralihan tenaga negara.
- Tiga fokus pembelajaran: pemahaman bil elektrik dan aplikasi MyTNB; penjimatan dan kecekapan tenaga; keselamatan elektrik.
- TNB menyalurkan sumbangan CSR sebanyak RM75,000 kepada sekolah, masjid, surau dan pertubuhan kebajikan sekitar Mukim Cheka 1.
Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi penganjuran MELP Bersama Komuniti Mukim Cheka 1 di Kuala Lipis, yang menghimpunkan 600 penduduk termasuk 100 murid sekolah rendah.
TNB dalam kenyataan berkata, inisiatif itu bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai pengurusan tenaga, menggalakkan amalan penggunaan elektrik yang lebih cekap dan selamat serta membuka ruang libat urus dua hala antara TNB dan masyarakat setempat.
Menerusi kenyataan sama, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata literasi tenaga adalah asas penting dalam membentuk masyarakat yang mampu membuat pilihan tenaga secara lebih bijak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MELP Kebangsaan menegaskan, keupayaan itu turut memainkan peranan dalam menjayakan agenda peralihan tenaga negara.
”Peralihan tenaga tidak boleh bergantung kepada dasar, teknologi dan pelaburan semata-mata. Justeru, program seperti MELP perlu sampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi, termasuk komuniti luar bandar supaya mereka memahami perubahan dalam landskap tenaga dan mengetahui bagaimana mereka boleh memainkan peranan,” katanya
Mengulas lanjut, TNB berkata tiga fokus pembelajaran utama diketengahkan dalam program bersama komuniti iaitu Pemahaman Bil Elektrik dan Aplikasi MyTNB, Penjimatan Serta Kecekapan Tenaga, dan Keselamatan Elektrik.
Pada program sama, TNB turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM75,000 kepada sekolah, masjid dan surau serta pertubuhan kebajikan di sekitar Mukim Cheka 1.