
ALOR SETAR, 6 September – Sekolah bukan semata-mata tempat menimba ilmu, malah membentuk generasi pewaris negara yang menghargai kepelbagaian serta sentiasa mengutamakan keharmonian.
- Memupuk nilai hormat, toleransi, perpaduan dan semangat muafakat sebagai budaya dalam kalangan warga sekolah.
- Kejayaan diukur bukan semata-mata peperiksaan tetapi juga akhlak mulia, integriti tinggi dan sumbangan kepada masyarakat serta negara.
- Aktiviti kokurikulum membina keyakinan diri, semangat kerjasama, daya tahan dan kebolehan memimpin menghadapi cabaran masa hadapan.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah bertitah dalam dunia semakin mencabar, nilai hormat-menghormati, toleransi, perpaduan dan semangat muafakat sewajarnya terus dipupuk supaya menjadi budaya dalam kalangan warga sekolah.
“Kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui kecemerlangan dalam peperiksaan, ia juga diukur berdasarkan akhlak mulia, integriti yang tinggi dan kesediaan menyumbang kepada masyarakat, negeri dan negara,” titah Baginda.
Sultan Sallehuddin turut bertitah aktiviti kokurikulum menjadi medan terbaik memupuk keyakinan diri, semangat kerjasama, daya tahan dan kebolehan memimpin yang amat diperlukan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Selain itu titah Baginda, institusi sekolah menjadi ejen dalam melahirkan dan membina sebuah masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan beradab.
Sultan Kedah amat menghargai matlamat sekolah yang memberikan penekanan kepada perkembangan potensi setiap pelajar secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu.
Pendekatan tersebut meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan sahsiah yang menjadi asas penting dalam membentuk insan berilmu, beriman, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri yang kukuh.