Kuching, Sri Aman kekal catat IPU sangat tidak sihat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 September – Dua kawasan di Sarawak, iaitu Kuching dan Sri Aman mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat 10 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 35 kawasan lain di seluruh negara dilaporkan mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat, melibatkan beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
  • Jerebu rentas sempadan susulan cuaca kering di selatan ASEAN, dengan 184 titik panas di Kalimantan dan 373 di Sumatera dilaporkan ASMC.
  • JAS memberi perhatian terhadap kebakaran belukar dan tanah gambut di Jalan Sibujaya Barat Mukah serta Sungai Nai Daro; pemadaman masih berjalan.
  • Penguatkuasaan dipertingkatkan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan; amaran larangan pembakaran terbuka dan denda serta hukuman di bawah Akta 2024.

Kuching merekodkan bacaan IPU 223, manakala Sri Aman mencatatkan IPU 215.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi kenyataan, sebanyak 35 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

Antara kawasan terjejas termasuk beberapa lokasi di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Keadaan itu berlaku susulan cuaca kering berterusan di sebahagian rantau selatan ASEAN serta jerebu rentas sempadan.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 5 September lalu, sebanyak 184 titik panas dikesan di Kalimantan dan 373 di Sumatera.

ASMC turut melaporkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal meliputi bahagian utara Borneo, selain jerebu sederhana dikesan di Singapura dan bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, JAS memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran di kawasan belukar dan tanah gambut berhampiran Jalan Sibujaya Barat di Mukah serta Sungai Nai di Daro, Sarawak.

Kebakaran di Jalan Sibujaya Barat melibatkan kawasan seluas sembilan hektar yang telah berjaya dikawal dan dipadamkan dengan kira-kira satu hektar lagi masih dalam tindakan pemadaman.

Di Sungai Nai pula, kira-kira 2.5 hektar daripada keseluruhan tiga hektar kawasan masih terbakar, namun dilaporkan terkawal.

JAS Sarawak akan terus memantau kedua-dua lokasi termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini keluasan kawasan terjejas dan menilai kesannya terhadap kualiti udara.

JAS berkata, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus diperkukuh selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi memastikan kesan pencemaran udara terhadap alam sekitar dan kesihatan awam dapat diminimumkan.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutamanya ketika cuaca panas dan kering.

Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.