
GEORGETOWN, 6 September – Seni tarian singa perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya masyarakat Cina meskipun berdepan arus modenisasi dan perubahan cita rasa generasi baharu, kata Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin.
- Usaha berterusan memastikan tarian singa kekal relevan dalam kalangan generasi muda yang terdedah pengaruh budaya barat.
- Tarian singa mengandungi nilai murni seperti ketekunan, ketahanan dan disiplin yang wajar diwariskan kepada generasi akan datang.
- Persembahan seluruh negara mempamerkan kemahiran, ketangkasan dan keunikan seni tradisional, memartabatkan budaya melalui acara seperti The Lions Origin Penang.
Beliau berkata usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan seni berkenaan kekal relevan dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah kepada pengaruh budaya barat.
Katanya, tarian singa bukan sekadar seni persembahan, malah mengandungi nilai murni seperti ketekunan, ketahanan dan disiplin yang wajar diteruskan kepada generasi akan datang.
“Melalui cara ini, kita dapat memartabatkan tarian singa dan nilai murni seperti ketekunan serta ketahanan, selain menonjolkan keunikan dan keindahan budaya ini,” katanya demikian selepas menghadiri Majlis The Lions Origin Penang 2026 di sini.
Hampir 2,000 peserta dari seluruh negara menyertai majlis berkenaan yang turut menampilkan persembahan tarian singa dari pelbagai negeri.
Peserta berkenaan mempamerkan kemahiran, ketangkasan dan ketekunan dalam persembahan kepada orang awam, sekali gus mengetengahkan keunikan seni tradisional itu.
Tarian singa merupakan seni persembahan tradisional masyarakat Cina yang lazimnya dipersembahkan oleh dua penari menggunakan kostum menyerupai singa, diiringi paluan gendang, simbal dan gong yang rancak.
Persembahan berkenaan secara tradisi dikaitkan dengan simbol membawa tuah dan kegembiraan serta menolak bala, selain menjadi antara warisan budaya yang terus dipelihara hingga kini.