
ISTANBUL, 6 September – Rundingan Presiden Rusia Vladimir Putin dengan wakil Amerika Syarikat (AS) Steve Witkoff dan Jared Kushner berlangsung secara “substantif, konstruktif dan sangat terbuka”.
- Rundingan di Moscow berlangsung selama tiga jam 10 minit dan membincangkan potensi projek utama antara Rusia dan AS.
- Putin menegaskan kesediaan Rusia bekerjasama dengan AS untuk penyelesaian politik dan diplomatik konflik Ukraine.
- Wakil AS mengemukakan idea penyelesaian, akan mengambil kira penilaian Putin dan meneruskan perundingan serta lawatan ke Kyiv.
Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik pembantu Kremlin Yury Ushakov pada Ahad berkata, rundingan di Moscow pada Sabtu itu berlangsung selama tiga jam 10 minit, turut membincangkan mengenai potensi projek utama antara Rusia-AS
Ushakov berkata, Putin menegaskan semula kesediaan Rusia untuk terus bekerjasama dengan AS dalam usaha mencari penyelesaian politik dan diplomatik terhadap konflik Ukraine.
Presiden Rusia itu turut menekankan keperluan menangani “punca utama” perang berkenaan selain menyentuh kemaraan tentera Rusia di medan perang dan keyakinannya bahawa Moscow akan mencapai matlamatnya.
Ushakov berkata wakil AS berkenaan mengemukakan beberapa idea mengenai kemungkinan kaedah untuk menyelesaikan perang itu, sambil menambah mereka berjanji akan mengambil kira penilaian Putin dalam pertemuan mereka di Kyiv.
Tambahnya, Putin dan Trump akan terus berhubung secara peribadi, manakala rundingan menerusi pasukan perunding AS juga akan diteruskan.
Witkoff dan Kushner meninggalkan Moscow selepas pertemuan itu dan dijadual melawat Kyiv pada Ahad.- BERNAMA-ANADOLU