
KUALA LUMPUR, 4 September – Nilai keseluruhan transaksi hartanah negara mencecah RM241.87 bilion pada 2025, meningkat 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan sektor itu yang kekal stabil dan berdaya tahan.
- Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat sederhana sebanyak 2.6 peratus, menandakan pertumbuhan pasaran tanpa lonjakan harga berlebihan.
- DRN 3.0 "Humanising Housing" memfokuskan kesejahteraan rakyat, mensasarkan satu juta rumah mampu milik dan menggunakan analitik data raya.
- Kementerian merancang bahagian khusus bagi penarafan bangunan hijau serta cadangan insentif pembiayaan dan cukai untuk galakkan pensijilan hijau.
Dalam tempoh sama, Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat sederhana sebanyak 2.6 peratus, menunjukkan pasaran terus berkembang tanpa lonjakan harga yang berlebihan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata momentum positif itu disokong usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh keyakinan pasaran dan membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Namun, kekuatan sektor hartanah tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai transaksi atau harga rumah semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kediaman lebih baik dan peningkatan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Nga berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kementeriannya melaksanakan Dasar Perumahan Negara 2026-2035 (DRN 3.0) bertemakan “Humanising Housing” yang meletakkan keperluan serta kesejahteraan rakyat sebagai teras agenda perumahan.
Kementerian turut menyasarkan penyediaan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, selain menggunakan analitik data raya untuk memahami permintaan dan kemampuan memiliki rumah mengikut lokasi dengan lebih tepat.
Dalam usaha memperluas amalan pembangunan mampan, KPKT juga merancang menubuhkan satu bahagian khusus bagi memantau dan menyelaras instrumen penarafan bangunan hijau di Malaysia.
Bahagian itu turut berperanan menggalakkan lebih ramai pemilik bangunan dan badan pengurusan mendapatkan pensijilan hijau.
“Cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan semalam itu termasuk menawarkan kos pembiayaan lebih rendah, margin pembiayaan lebih tinggi dan kadar cukai lebih rendah kepada pemilik bangunan serta badan pengurusan bagi menggalakkan amalan lebih mampan,” katanya.
Mengenai MAPEX 2026, beliau berkata, ia merupakan platform yang menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar dan orang ramai bagi mendekatkan peluang pemilikan hartanah kepada rakyat, dengan penganjurannya sudah berlangsung hampir tiga dekad.