
KUALA LUMPUR, 6 September – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperluas inisiatif Barakah Pit Stop bagi menyediakan ruang rehat dan kemudahan kepada komuniti p-hailing serta e-hailing, khususnya golongan muda.
- Barakah Pit Stop berfungsi pusat sehenti untuk pemandu e/p-hailing menyediakan makanan, minuman, tempat berehat, pengecas dan program bersama rider.
- Inisiatif menjadi medium dakwah dan pengimarahan masjid untuk mendekati golongan muda.
- MAIWP memperuntukkan kira-kira RM500,000 tahun ini untuk program kebajikan termasuk Barakah Pit Stop dan Sentuhan Kasih Zakat Bersama Asnaf.
- Kerjasama MAIWP, JAWI, Yayasan Food Bank Malaysia dan masjid menyokong pelaksanaan serta rancangan perluasan lokasi termasuk Cheras.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata inisiatif itu turut menjadi medium untuk mendekati golongan berkenaan menerusi aktiviti dakwah dan pengimarahan institusi masjid.
Beliau berkata Barakah Pit Stop @ Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar merupakan lokasi kedua bagi inisiatif berkenaan selepas ia dilancarkan di Masjid Wilayah Persekutuan pada Mac lepas.
“Inisiatif Barakah Pit Stop itu berfungsi sebagai pusat sehenti dan ruang rehat bagi pemandu e-hailing serta penunggang p-hailing, selain menjadi medium mendekati golongan muda menerusi aktiviti dakwah dan institusi masjid.
“Di sini mereka boleh berehat dan ada kawasan disediakan makanan, minuman, tempat mereka berehat dengan tempat pengecas, dan ada juga beberapa program yang kita adakan bersama dengan abang-abang rider kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Barakah Pit Stop @ Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq disini.
Beliau berkata seramai 70 penunggang p-hailing disantuni menerusi program itu sebagai sebahagian usaha MAIWP mendekati serta menjaga kebajikan komuniti berkenaan.
Jelas beliau, MAIWP memperuntukkan kira-kira RM500,000 tahun ini bagi pelaksanaan pelbagai program kebajikan masyarakat, termasuk RM350,000 untuk Program Barakah Pit Stop Parlimen Lembah Pantai dan RM150,000 bagi Program Sentuhan Kasih Zakat Bersama Asnaf dengan kerjasama Pusat Agihan Zakat MAIWP.
Pada masa sama, beliau berharap pendekatan berkenaan dapat diperluas dan dicontohi masjid serta surau lain supaya institusi berkenaan lebih dekat dan relevan dengan keperluan semasa masyarakat.
Ujar beliau, MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sedang meneroka beberapa lokasi lain, termasuk di Cheras, bagi memperluas inisiatif berkenaan.
Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama MAIWP, Yayasan Food Bank Malaysia, JAWI dan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, selain mendapat kerjasama beberapa pihak lain.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyerahan cek Cura Bantuan Tahun 2026 dan pelaksanaan Barakah Pit Stop kepada Yayasan Food Bank Malaysia, selain menyantuni penunggang p-hailing menerusi penyerahan makanan berbungkus dan saguhati tunai.
Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.