MPOB perkasa R&D, pacu daya saing industri sawit dalam ketidaktentuan global

Foto fail

KUALA LUMPUR, 15 April -Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) komited untuk memperkasakan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ketidakstabilan geopolitik khususnya di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • R&D perlu lebih strategik dan berasaskan sains untuk menangani gangguan rantaian nilai dan ketidaktentuan pasaran.
  • PAC menyelaras hala tuju R&D MPOB agar selari dengan keperluan industri dan perkembangan global.
  • Fokus merangkumi keseluruhan rantaian nilai dari hulu hingga hiliran, menekankan inovasi, aplikasi teknologi dan impak sosioekonomi.
  • Kemampanan jadi keutamaan termasuk pematuhan EUDR, kebolehkesanan rantaian bekalan, serta peranan sawit dalam biodiesel dan keselamatan makanan.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam dalam kenyataan berkata ketidakstabilan geopolitik telah memberi kesan rantaian kepada pelbagai sektor termasuk pasaran minyak dan lemak global, sekali gus menuntut pendekatan lebih strategik dan berasaskan sains dalam memperkukuh industri.

“Sehubungan itu, PAC berperanan penting dalam menyelaras hala tuju R&D MPOB agar selari dengan keperluan industri dan perkembangan global.

“Pendekatan ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai sawit, daripada huluan hingga hiliran, dengan penekanan kepada inovasi, aplikasi teknologi serta impak sosio-ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat PAC MPOB 2026 yang berlangsung selama empat hari mulai 13 April lepas turut membincangkan pendekatan R&D strategik MPOB bagi menyelaras inisiatif dan memperkasa daya saing industri sawit negara selari dengan mandat Kerajaan di bawah kerangka Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).

Menurut MPOB, pada masa yang sama aspek kemampanan terus menjadi keutamaan, khususnya dalam mendepani keperluan pematuhan kepada piawaian antarabangsa seperti Peraturan Bebas Penyahhutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menuntut rantaian bekalan bebas penebangan hutan dan tahap kebolehkesanan yang tinggi.

“Industri sawit juga berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam agenda peralihan tenaga melalui penggunaan adunan biodiesel dan memastikan keterjaminan makanan global sebagai tanaman minyak sayuran paling efisien dari segi pengeluaran hasil setiap hektar,” tambah beliau.