Biodiesel pacu autonomi tenaga negara

Foto fail

KUALA LUMPUR, 15 April –Langkah Malaysia ke arah peningkatan campuran biodiesel dilihat berupaya memperkukuh autonomi tenaga negara serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan api import, khususnya dalam suasana ketidaktentuan geopolitik global.

Penyelidik Pelawat dari Jabatan Pengurusan Teknologi Untuk Inovasi, Fakulti Pascasarjana Kejuruteraan, Universiti Tokyo, Prof. Zainal Abidin Sanusi berkata, pelaksanaan dasar biodiesel secara berperingkat berpotensi mengaktifkan semula industri berkaitan serta merangsang ekosistem ekonomi negara.

“Langkah ini dijangka mencetuskan keupayaan baharu, merangsang industri serta mengaktifkan ekonomi secara lebih meluas.

”Ia menghidupkan semula enjin industri biodiesel yang sebelum ini bergerak perlahan. Apabila campuran ditingkatkan kepada 15 peratus, ia akan memberi impak yang besar kepada industri diesel negara,” katanya kepada RTM dalam program Biz Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penggunaan biodiesel penting dalam usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara ketika berdepan risiko gangguan bekalan global.

“Apabila kita mempunyai sumber tenaga sendiri yang tidak 100 peratus bergantung kepada import, termasuk melalui campuran biodiesel secara berperingkat, sekurang-kurangnya kita mempunyai rizab tenaga sendiri untuk mengurangkan kesan terhadap ekonomi negara,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan dasar biodiesel memerlukan sokongan menyeluruh merangkumi aspek dasar, infrastruktur serta kefahaman industri dan pengguna.

Langkah tersebut dilihat selari dengan usaha negara mempercepat peralihan kepada sumber tenaga lebih mampan bagi menjamin kestabilan bekalan serta ketahanan ekonomi jangka panjang.