MBSB Bank salur RM200,000 bantu 500 pelajar lanjut pengajian tinggi

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Berhad, Rafe Haneef / Foto Facebook MBSB Bank

KUALA LUMPUR, 30 Julai – MBSB Bank Berhad memperuntukkan bantuan zakat berjumlah RM200,000 kepada 500 pelajar daripada keluarga nelayan bagi membantu mereka melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan disalurkan melalui Program Bantuan Pendidikan 2026 Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) untuk menampung kos awal pengajian.
  • Bantuan sekali bayar merangkumi yuran pendaftaran, pengangkutan, penginapan dan keperluan asas pembelajaran.
  • Kajian di Terengganu menunjukkan hanya satu peratus nelayan pesisir melanjutkan pengajian; jurang ini perlu diberi perhatian.
  • 250 pelajar sijil menerima RM300 setiap seorang, manakala 250 pelajar diploma atau ijazah menerima RM500 untuk meringankan beban keluarga nelayan.

Bantuan disalurkan menerusi Program Bantuan Pendidikan 2026 Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) sebagai usaha meringankan beban kewangan pelajar khususnya bagi menampung kos awal pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Berhad, Rafe Haneef berkata bantuan secara sekali bayar itu bertujuan meringankan kos awal pengajian termasuk yuran pendaftaran, pengangkutan, penginapan dan keperluan asas pembelajaran.

“Kajian yang melibatkan 220 nelayan pesisir pantai di Terengganu mendapati hanya satu peratus berjaya melanjutkan pengajian ke kolej atau universiti. Jurang ini perlu diberi perhatian.

“Golongan muda daripada komuniti nelayan mempunyai bakat dan semangat untuk melangkah lebih jauh.

“Sumbangan zakat MBSB akan membantu 500 pelajar di seluruh negara menampung kos awal untuk memulakan atau meneruskan pengajian tinggi, ” katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah program berkenaan, 250 pelajar peringkat sijil akan menerima RM300 setiap seorang, manakala 250 pelajar di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda menerima RM500 setiap seorang.

Inisiatif itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga nelayan yang berdepan pendapatan tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup dan pendidikan sekali gus memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dengan lebih lancar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.