
KUALA LUMPUR, 24 September – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan tempoh kelulusan permohonan pembiayaan modal kerja kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dipendekkan kepada tiga hari berbanding lima hari ketika ini.
- Mengurangkan karenah birokrasi dan bilangan dokumen, hanya meminta dokumen asas daripada pemohon pembiayaan PMKS.
- Pelancaran Platform Digital Planworth menghubungkan pembeli, vendor PMKS dan pembiaya dalam ekosistem pembiayaan bersepadu.
- Pembiayaan alternatif menawarkan lebih banyak pilihan serta membantu mempercepatkan dan memudahkan proses permohonan modal kerja.
- Pertukaran MoU antara Planworth, BUMITRA, PAPA dan CDC memperluas akses pembiayaan kepada ahli serta komuniti perniagaan.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pengurangan karenah birokrasi, termasuk mengurangkan jumlah dokumen yang perlu dikemukakan oleh pemohon.
Menurutnya, langkah berkenaan dapat membantu PMKS memperoleh modal kerja dengan lebih cepat bagi memenuhi keperluan aliran tunai perniagaan, sekali gus memperkukuh ekosistem pembiayaan PMKS.
“Kita mahu mengurangkan birokrasi yang tidak perlu kerana dokumen yang banyak dan tempoh kelulusan yang mengambil masa agak lama. Selepas ini, kita hanya akan minta dokumen asas sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus Pembiayaan dan Pertumbuhan PMKS di sini hari ini, yang turut menyaksikan pelancaran Platform Digital Baharu Pembiayaan Rantaian Bekalan Planworth milik Planworth Global Factoring Sdn. Bhd.
Platform digital berkenaan menghubungkan pembeli, vendor PMKS dan pembiaya dalam satu ekosistem pembiayaan bersepadu, sekali gus memudahkan serta mempercepatkan proses permohonan pembiayaan modal kerja.
Datuk Mohamad berkata, pembiayaan alternatif kepada PMKS itu turut menawarkan lebih banyak pilihan pembiayaan selain membantu mengurangkan karenah birokrasi.
“Kita komited bersama rakan strategik sektor swasta termasuk Planworth untuk membantu usahawan kita dengan kadar yang sangat cepat,” katanya.
Pada program sama, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Planworth dengan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) dan CDC International Sdn. Bhd. bagi memperluas akses pembiayaan kepada ahli serta komuniti perniagaan terbabit.