KLIA seragamkan caj masuk e-hailing di kedua-dua terminal

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September – Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menyeragamkan caj kemasukan kenderaan e-hailing kepada RM2 termasuk cukai di Terminal 1 dan Terminal 2, berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAHB mahu beri kadar lebih jelas dan konsisten serta melancarkan urusan pengambilan penumpang dan pengendali e-hailing.
  • Pematuhan pemandu dalam 10 minit meningkat kepada 99.3 peratus daripada 49.4 peratus selepas penambahbaikan.
  • Kapasiti pemprosesan waktu puncak naik dari 302 kepada 660 kenderaan sejam dan kenderaan harian turun 13.5 peratus.

Caj baharu itu lebih rendah berbanding RM3 di Terminal 1 dan RM2.16 di Terminal 2 sebelum ini, sekali gus menyediakan kadar yang sama bagi pengambilan penumpang di kedua-dua terminal.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataannya memaklumkan, langkah berkenaan bertujuan memberi kadar yang lebih jelas dan konsisten kepada penumpang serta pengendali e-hailing, selain melancarkan urusan pengambilan penumpang.

Dalam pada itu, penambahbaikan kemudahan e-hailing di Terminal 1 sejak Ogos lalu menyaksikan kadar pematuhan pemandu dalam tempoh 10 minit melonjak kepada 99.3 peratus berbanding 49.4 peratus sebelum ini.

Jumlah kenderaan harian yang memasuki lorong pengambilan turut berkurang 13.5 peratus daripada 8,124 kepada 7,024 kenderaan.

Kapasiti pemprosesan pada waktu puncak juga meningkat daripada 302 kepada sehingga 660 kenderaan sejam, sekali gus membolehkan pergerakan kenderaan lebih pantas dan melancarkan pengambilan penumpang.

Menurut Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA, Abd Hasman Abd Muhimin, penambahbaikan itu bertujuan meningkatkan pengalaman penumpang, di samping memastikan operasi lebih teratur dan cekap.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.