Keputusan Malaysia kembali anjur F1 bergantung penilaian kebolehlaksanaan

Foto fail

KUALA LUMPUR, 15 Oktober -Keputusan sama ada Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah kejohanan Formula 1 (F1) akan ditentukan menerusi laporan penilaian menyeluruh berhubung kebolehlaksanaan dan pulangan pelaburan penganjuran semula kejohanan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan penilaian dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada November untuk pertimbangan penganjuran semula F1.
  • Penilaian menilai implikasi kewangan dan memastikan impak ekonomi positif tanpa menjejaskan peruntukan pembangunan sukan lain.
  • Cadangan penganjuran secara selang tahun dengan negara rakan sedang dinilai selepas perbincangan awal antara Perdana Menteri dan pengurusan F1.
  • Jawatankuasa penilaian rentas kementerian ditubuhkan supaya manfaat ekonomi F1 dirasai menyeluruh oleh pelbagai sektor, bukan hanya KBS dan SIC.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, laporan berkenaan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada November ini.

Menurut beliau, penilaian tersebut penting memandangkan penganjuran F1 melibatkan implikasi kewangan yang besar, selain memastikan penganjurannya benar-benar memberi impak ekonomi positif serta tidak menjejaskan peruntukan pembangunan sukan-sukan lain di negara ini.

“Perkara ini masih di peringkat awal. Penilaian tersebut sedang dilaksanakan dan dalam tempoh sehingga bulan November ini, kita akan keluarkan satu laporan untuk dibawa kepada Jemaah Menteri.

“Pada akhirnya, perkara tersebut akan diputuskan oleh Jemaah Menteri sama ada kita akan bawa semula F1 ke negara kita ataupun tidak,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan di Dewan Rakyat.

Dr. Mohamed Taufiq menjelaskan antara pendekatan yang turut dinilai termasuk cadangan penganjuran secara selang beberapa tahun sekali (alternate host) menerusi kerjasama dengan negara rakan, hasil perbincangan awal
antara Perdana Menteri bersama pihak pengurusan F1.

Penubuhan jawatankuasa penilaian rentas kementerian itu bertujuan memastikan manfaat ekonomi F1 tidak hanya tertumpu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC),
tetapi turut dirasai secara menyeluruh oleh pelbagai sektor lain.

Mengulas mengenai impak penganjuran acara berkait F1 baru-baru ini pada 2 hingga 4 Oktober lalu, beliau memaklumkan acara tersebut berjaya menarik kehadiran 261,000 pengunjung dengan jualan tiket melebihi 100,000 keping.

Manakala hasil jualan usahawan tempatan menerusi ‘Litar Rasa Madani’ mencatatkan lebih RM550,000.

Dalam pada itu, beliau mengulangi komitmen KBS dalam memperkasakan pembangunan bakat pelumba tempatan di peringkat akar umbi.

“Bagi tahun 2025, peruntukan RM5.6 juta telah disalurkan bagi pelaksanaan 29 program sukan permotoran dua dan empat roda, manakala inisiatif ‘Rakan Litar’ diteruskan pada tahun 2026 bagi mencongkel potensi muda dari kawasan bandar dan luar bandar ke pentas antarabangsa,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.