Belanjawan 2027 perkukuh keupayaan teknologi tempatan

Foto AI

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Tumpuan Belanjawan 2027 terhadap peluasan penggunaan kecerdasan buatan (AI), pembangunan Awan AI Berdaulat serta pembiayaan penyelidikan dan pengkomersialan dilihat mampu memperkukuh keupayaan teknologi tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu infrastruktur digital mampan, cekap tenaga dan berprestasi tinggi untuk menjana nilai ekonomi jangka panjang.
  • Peruntukan RM15 bilion bagi memperkukuh grid elektrik dan sambut baik pelanjutan insentif cukai teknologi hijau hingga 2030.
  • Peluasan pusat data perlu dirancang bertanggungjawab serta disokong kerjasama industri, penyedia utiliti dan pembuat dasar.

Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn berkata, langkah itu penting bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab AI dan ekonomi digital terkemuka di rantau ini.

Menurutnya, pertumbuhan sektor digital perlu disokong infrastruktur mampan, cekap tenaga dan berprestasi tinggi supaya pelaburan teknologi mampu menjana nilai ekonomi jangka panjang.

“Fasa pertumbuhan ekonomi negara seterusnya bukan sahaja bergantung pada usaha menarik pelaburan, malah pembangunan keupayaan dan infrastruktur diperlukan bagi menjana nilai ekonomi jangka panjang daripada pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Cheam turut memaklumkan, peningkatan penggunaan AI, pengkomputeran awan serta teknologi intensif data semakin penting bagi menyokong operasi perniagaan merentasi pasaran dan menterjemah inovasi digital kepada hasil ekonomi.

Pada masa sama, peluasan infrastruktur digital perlu diseimbangkan dengan aspek kelestarian termasuk kecekapan tenaga, pengurusan sumber air serta kesiapsiagaan bekalan elektrik.

Sehubungan itu, beliau turut menyambut baik peruntukan RM15 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh grid elektrik negara selain pelanjutan insentif cukai teknologi hijau sehingga 2030.

Jelasnya, langkah berkenaan dapat membantu menyelaraskan pertumbuhan infrastruktur digital dengan kesiapsiagaan tenaga jangka panjang serta agenda kelestarian negara.

“Peluasan pusat data perlu dipacu oleh permintaan, dirancang secara bertanggungjawab serta disokong kerjasama erat antara industri, penyedia utiliti dan pembuat dasar.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pertumbuhan digital Malaysia kekal berdaya saing dan mampan,” katanya.

Mengulas pelaburan Equinix di Malaysia, Cheam memaklumkan, kemudahan pusat data KL2 di Cyberjaya dirancang bagi menyokong perkembangan ekosistem AI, pengkomputeran awan serta digital perusahaan negara.

“Menerusi usaha ini, kami berharap dapat menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai hab digital strategik, sambil menyokong pembangunan infrastruktur digital secara bertanggungjawab dan berasaskan permintaan,” jelasnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.