
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Japan Expo Malaysia (JEMY) 2026 dijangka menjadi pemangkin hubungan Malaysia-Jepun menerusi sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan serta kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
- Kira-kira setengah juta rakyat Malaysia dan Jepun saling berkunjung setiap tahun, menunjukkan hubungan pelancongan kukuh.
- Lebih banyak laluan penerbangan diperkenal, contohnya Malaysia Airlines KL‑Fukuoka dan syarikat tambang rendah Jepun Narita‑KL, meningkatkan kapasiti hubungan udara.
- Kerjasama antara syarikat pemula niaga Jepun dan PKS tempatan diperkukuhkan terutama dalam sektor teknologi dan semikonduktor.
- Minat pelaburan syarikat Jepun meningkat susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Jepun.
Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata yakin sambutan positif terus diterima bagi edisi ketujuh ekspo, sekali gus menjadikan penganjuran yang sentiasa dinanti rakyat kedua-dua negara.
“Kira-kira setengah juta rakyat Malaysia dan Jepun saling berkunjung ke negara masing-masing setiap tahun. Selain itu, semakin banyak penerbangan baharu diperkenal bagi meningkat hubungan kedua-dua negara. Sebagai contoh, Malaysia Airlines telah melancarkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Fukuoka.
“Manakala syarikat penerbangan tambang rendah baharu Jepun, kini mengendalikan penerbangan dari Narita ke Kuala Lumpur yang menunjukkan kapasiti penerbangan antara kedua-dua negara terus diperluas,”katanya selepas Majlis Pelancaran JEMY 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam masa sama, beliau berkata acara itu turut merancakkan kerjasama antara syarikat pemula niaga Jepun dan PKS tempatan terutama dalam sektor teknologi serta semikonduktor.
“Perkembangan itu selari dengan peningkatan minat syarikat Jepun untuk melabur di Malaysia susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun baru-baru ini,”jelasnya.