Bursa Malaysia ditutup rendah, pasaran pantau tarif terbaharu AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Bursa Malaysia ditutup rendah secara meluas pada Jumaat, disebabkan pelabur menilai kesan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap import daripada 60 negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • FBM KLCI mencatat prestasi lebih baik berbanding negara serantau.
  • FBM KLCI susut 13.57 mata kepada 1,701.02, berlegar antara 1,697.76 dan 1,710.80.
  • Kaunter rugi 723 berbanding kaunter untung 339; 543 tidak berubah, 1,168 tidak didagangkan.
  • Sentimen berhati-hati disebabkan kenaikan minyak, ketegangan geopolitik dan ketidakpastian pendapatan teknologi AS.

Bagaimanapun, indeks penanda aras FBM KLCI mencatatkan prestasi lebih baik berbanding negara serantau.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.57 mata atau 0.79 peratus kepada 1,701.02 berbanding 1,714.59 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 4.14 mata lebih rendah pada 1,710.45 dan bergerak antara 1,697.76 dan 1,710.80 di sepanjang sesi dagangan.

Bagi pasaran keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 723 berbanding 339, manakala 543 kaunter tidak berubah, 1,168 kaunter tidak didagangkan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.03 bilion unit bernilai RM2.30 bilion daripada 3.19 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata langkah perdagangan baharu itu, berserta peningkatan harga minyak mentah dan ketidakpastian menyelubungi pendapatan teknologi Amerika Syarikat (AS) yang akan datang, menjejas sentimen pasaran.

Minyak mentah Brent didagangkan di atas US$100 setong sebelum susut kepada US$97.28 setong pada penutupan hari ini, selepas serangan ke atas kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah dan serangan terbaharu AS ke atas Iran meningkatkan kebimbangan terhadap risiko bekalan Asia Barat, sekali gus menambah kerisauan terhadap inflasi serta prospek pertumbuhan global.

Di Bursa Malaysia, Thong berkata sentimen beralih kepada sikap berhati-hati dalam persekitaran ketegangan geopolitik yang semakin memuncak dan pelaksanaan tarif baharu oleh AS.

“Bagaimanapun, kami percaya paras 1,700 sepatutnya memberikan sokongan psikologi dan teknikal yang kukuh, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah selepas penurunan baru-baru ini.

“Walaupun cabaran luaran dijangka akan teru”s menyebabkan ketidaktentuan, FBM KLCI telah menyusut ke paras di atas sokongan 1,700, sekali gus membawa penilaian kepada paras yang lebih menarik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pasaran tempatan telah menunjukkan ketahanan lebih baik berbanding semasa lonjakan harga minyak sebelum ini, walaupun indeks penanda aras mencatatkan penurunan.

Beliau berkata FBM KLCI setakat ini berjaya bertahan di atas paras 1,700 mata, menunjukkan sokongan asas pasaran lebih kukuh, didorong oleh asas domestik semakin baik dan penyertaan berterusan pelabur institusi.

“Walaupun perkembangan geopolitik dan harga tenaga yang tinggi dijangka meneruskan ketidaktentuan dalam tempoh terdekat, keupayaan pasaran untuk kekal berada di atas sokongan psikologi utama menunjukkan bahawa pelabur mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati berbanding reaksi mengelak risiko secara menyeluruh,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM10.78, Public Bank menguncup enam sen kepada RM5.11, Tenaga Nasional berkurangan 14 sen kepada RM14.36, CIMB merosot lima sen kepada RM7.68, dan IHH Healthcare susut sembilan sen kepada RM8.30.

Bagi saham aktif, Aimax tidak berubah pada satu sen, bagaimanapun HHRG susut tiga sen kepada 15 sen, Zetrix AI dan Aimflex berkurangan satu sen masing-masing kepada 70 sen dan 12.5 sen, manakala Trive Property naik setengah sen kepada dua sen.

Kaunter paling untung menyaksikan ESYS naik 44 sen kepada 55 sen, United Plantations meningkat 32 sen kepada RM33.42, Allianz Malaysia dan Chin Teck Plantations melonjak kepada 28 sen masing-masing kepada RM21.24 dan RM11.34, manakala Ideal Capital meningkat 24 sen kepada RM3.99.

Bagi kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries turun RM1.10 sen kepada RM45.08, Nestle susut 58 sen kepada RM90.62, Hong Leong Bank merosot 38 sen kepada RM21.98, Fraser & Neave turun 34 sen kepada RM28.30, dan Press Metal Aluminium berkurangan 19 sen kepada RM7.86.

Indeks secara meluas menyaksikan Indeks FBM Emas turun 68.19 mata kepada 12,589.54, Indeks FBM Top 100 susut 69.90 mata kepada 12,441.96, Indeks FBM ACE berkurangan 42.21 mata kepada 4,926.87, Indeks FBM Mid 70 menambah 23.48 mata kepada 17,890.83 manakala Indeks FBM Emas Syariah sebaliknya menguncup 52.03 mata kepada 12,444.250.

Bagi sektor, Indeks Perladangan naik 60.71 mata kepada 9,300.98, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 153.60 mata kepada 20,057.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.90 mata kepada 187.86, dan Indeks Tenaga menguncup 0.31 mata kepada 773.83.

Di Pasaran utama, jumlah dagangan merosot kepada kepada 1.73 bilion unit bernilai RM2.06 bilion berbanding 1.84 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Khamis.

Jumlah waran susut kepada 745.36 juta unit bernilai RM92.85 juta berbanding 902.43 juta unit bernilai RM117.01 juta sebelumnya.

Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 556.89 juta unit bernilai RM149.98 juta daripada 449.60 juta unit bernilai RM132.47 juta semalam.

Dagangan di Pasaran Utama menyaksikan kaunter produk pengguna dan perkhidmatan mencatatkan 163.75 juta saham manakala produk perindustrian dan perkhidmatan (327.93 juta), pembinaan (99.57 juta), teknologi (498.38 juta), perkhidmatan kewangan (71.06 juta), hartanah (140.81 juta), perladangan (55.25 juta), amanah pelaburan hartanah (REIT) (20.68 juta), dana tertutup (397,300 unit), tenaga (231.36 juta), penjagaan kesihatan (48.07 juta), telekomunikasi dan media (19.31 juta), pengangkutan dan logistik (20.19 juta), utiliti (31.56 juta) serta amanah perniagaan (5,600 unit). – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.