
LANGKAWI, 22 Julai – Daya saing destinasi pelancongan tidak lagi diukur menerusi angka ketibaan pelancong atau hasil semata-mata, sebaliknya menjurus kepada aspek daya tahan, kestabilan serta kepercayaan.
- Kerjasama ASEAN-China diperkuat melalui perkongsian erat, kolaborasi terbuka dan komitmen kepada pertumbuhan mampan.
- Fokus dialog pada pembinaan ekosistem pelancongan serantau yang berdaya tahan, dipercayai dan bersedia menghadapi masa depan.
- Dialog ini menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan rakyat, pertukaran budaya, peluang perniagaan dan pembangunan industri pelancongan.
- Kerjasama strategik Malaysia-China terus diperkukuh melalui dialog khusus yang memfokuskan kolaborasi sektor pelancongan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing ketika bercakap pada Dialog Pelancongan ASEAN-China 2026 di sini telah menekankan kepentingan membina ekosistem pelancongan serantau yang lebih berdaya tahan, dipercayai serta bersedia menghadapi masa depan.
“Walaupun cabaran ketika ini ‘kelihatan’ tidak berkaitan secara langsung dengan pelancongan, namun kesannya turut dirasai industri.
“Oleh itu, kerjasama ASEAN-China perlu diperkukuh melalui perkongsian yang lebih erat, kolaborasi terbuka juga komitmen bersama kepada pertumbuhan mampan,”katanya.
ASEAN katanya telah merekodkan lebih daripada 147 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada tahun 2025, yang telah mencatat peningkatan lebih lima peratus berbanding tahun sebelumnya.
“China kekal salah satu pasaran sumber terbesar dan terpenting bagi ASEAN dengan menyumbang lebih daripada 21 juta ketibaan pelancong ke negara-negara ASEAN,”katanya.
Dialog bertemakan “Membina ekosistem pelancongan serantau yang lebih berdaya tahan, mampan dan bersedia masa depan” telah menarik penyertaan lebih 300 deligasi negara ASEAN.
Sementara itu, pada sesi berasingan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan antara Malaysia dan China terus diperkukuh menerusi penganjuran Dialog Pelancongan Malaysia-China.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man pula berkata, dialog itu platform penting dalam memperluas kerjasama pelancongan, selain mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara melalui pertukaran budaya, peluang perniagaan dan pembangunan industri pelancongan.
“China kekal antara pasaran pelancongan utama Malaysia dengan merekodkan kira-kira 4.7 juta ketibaan pelawat dari negara itu sepanjang tahun 2025, meningkat 25.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Momentum diteruskan tahun ini dengan 2.2 juta pelancong China direkodkan mengunjungi Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, iaitu peningkatan 21.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas,”katanya.