Kestabilan politik penting untuk perkukuh daya tahan ekonomi negara

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin ditemu bual pemberita pada Majlis Perasmian Ekspo Pembuatan Elektronik Asia (EMAX) 2026 / Foto BERNAMA

BAYAN LEPAS, 22 Julai – Malaysia perlu mengekalkan kestabilan politik bagi memastikan negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemain industri E&E digalakkan manfaatkan prestasi perdagangan kukuh untuk menaik taraf operasi dan memperkasa kesiapsiagaan menghadapi kitaran pertumbuhan seterusnya.
  • Tumpuan perlu diberi kepada pelaburan semula keuntungan dalam R&D, automasi dan pembangunan bakat untuk memacu inovasi dan daya saing.
  • Prestasi perdagangan negara terus menunjukkan momentum kukuh, menyokong keupayaan pelabur serta penggiat industri menghadapi cabaran luaran.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan yang stabil dan kukuh penting bagi membolehkan negara mengharungi pelbagai tekanan luar.

“Kita tidak boleh lagi terus bertelagah sesama sendiri. Apa juga yang berlaku di dunia, termasuk krisis Asia Barat yang tidak diketahui bila akan berakhir, sekurang-kurangnya negara kita kekal stabil dan mempunyai kerajaan yang kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Ekspo Pembuatan Elektronik Asia (EMAX) 2026 di sini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pemain industri terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) memanfaatkan prestasi perdagangan negara yang kukuh pada tahun ini untuk menaik taraf operasi serta memperkasa kesiapsiagaan untuk menghadapi kitaran pertumbuhan industri seterusnya.

“Tumpuan perlu diberi kepada langkah melabur semula keuntungan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain automasi serta pembangunan bakat,” jelasnya.

Isnin lalu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, prestasi perdagangan Malaysia terus menunjukkan momentum kukuh apabila mencatat nilai bulanan tertinggi baharu pada Jun 2026 iaitu sebanyak RM340.89 bilion, meningkat 44.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Eksport meningkat 45.4 peratus kepada RM177.89 bilion, manakala import berkembang 43.9 peratus kepada RM163.00 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM14.89 bilion, iaitu lebihan yang ke-74 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.