Ringgit ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika, mata wang utama dan serantau

Ringgit diniagakan dalam julat kecil ketika sentimen pasaran kekal berhati-hati / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Lonjakan harga minyak mentah terbukti mendorong ringgit yang mengukuh berbanding mata wang utama dunia, termasuk dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Timbalan Menteri Kewangan: setiap kenaikan harga minyak US$1 setong dijangka menjana tambahan kira-kira RM300 juta hasil kerajaan.
  • Ringgit diniagakan dalam julat kecil kerana sentimen pasaran kekal berhati-hati, menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat.
  • Ringgit mengukuh berbanding mata wang utama dan serantau termasuk euro, yen, pound, dolar Singapura, rupiah, baht dan peso Filipina.

Pada 6 petang, ringgit meningkat ke paras 4.0850/0890 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0910 semalam ketika harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, melonjak melebihi US$94 setong berbanding US$71.57 setong pada 1 Julai 2026.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong pada sesi soal jawab di Dewan Negara, memaklumkan setiap kenaikan harga minyak sebanyak US$1 setong dijangka menjana tambahan hasil kira-kira RM300 juta kepada hasil kerajaan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan dalam julat kecil RM4.0860 hingga RM4.0975 hari ini ketika sentimen pasaran kekal berhati-hati.

“Gangguan pergerakan kapal di Selat Hormuz dan Selat Bab al-Mandab selain langkah kerajaan AS mengenakan tarif import, terus menjadi tumpuan utama penggiat pasaran pada masa ini,” katanya.

Pada awal hari ini, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 100 peratus terhadap ubat jenis generik bermula Ogos 2028, kecuali pengeluar terbabit bertindak memindahkan operasi pengeluaran ke negara maju itu.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama dunia hari ini.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.6585/6631 daripada 4.6682/6727 semalam, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5057/5081 daripada 2.5123/5148 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4612/4666 daripada 5.4868/4922 sebelum ini.

Ringgit juga ditutup mengukuh berbanding mata wang serantau.

Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1635/1668 daripada 3.1682/1716 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.3 daripada 228.4/228.8 semalam.

Selain itu, ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 12.0787/0944 daripada 12.1420/1579 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.62 daripada 6.62/6.63, sebelum ini. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.