Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS susulan ketegangan Asia Barat

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini, sejajar dengan pergerakan mata wang utama lain ketika pelabur kekal berhati-hati susulan ketegangan berterusan di Asia Barat yang mengganggu aliran bekalan minyak dan gas global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran memfokuskan kesan ketegangan geopolitik terhadap inflasi dan keputusan kadar faedah Fed melalui FOMC.
  • Kebarangkalian Fed menaikkan kadar pada September meningkat kepada 64.8% menyokong pengukuhan dolar AS.
  • Ringgit kekal berdaya tahan meskipun dolar AS mengukuh, disokong terma dagangan kukuh dan status sebagai pengeksport tenaga.
  • Pergerakan bercampur terhadap mata wang utama dan serantau; tidak berubah berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada paras 4.0855/0920 berbanding dolar AS, berbanding 4.0850/0890 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan pasaran kini terarah kepada kesan ketegangan geopolitik terhadap inflasi serta keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menerusi Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).

Beliau berkata, kebarangkalian Fed menaikkan kadar faedah pada September kini meningkat kepada 64.8 peratus berbanding 51.5 peratus pada awal Julai, sekali gus dijangka terus menyokong pengukuhan dolar AS dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit menunjukkan prestasi yang kekal berdaya tahan sepanjang minggu ini meskipun dolar AS mengukuh secara keseluruhan.

Menurutnya, mata wang tempatan disokong oleh peningkatan terma dagangan Malaysia susulan data perdagangan yang kukuh, selain kedudukan negara sebagai pengeksport tenaga yang memberi perlindungan relatif apabila harga minyak meningkat.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau dan utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5051/5092 daripada 2.5057/5081, namun susut berbanding euro kepada 4.6624/6698 daripada 4.6585/6631 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4648/4735 daripada 5.4612/4666.

Berbanding mata wang serantau, ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1646/1699 daripada 3.1635/1668 serta menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.0924/1173 daripada 12.0787/0944.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 228.0/228.4 dan peso Filipina pada 6.61/6.63.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.