
PUTRAJAYA, 24 Ogos – Penambahbaikan tadbir urus pengurusan bangunan berstrata, pelaksanaan semula inisiatif sewa untuk milik serta penyediaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) antara perkara yang dicadang untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
- Sesi libat urus KPKT menghimpun 350 pemegang taruh untuk memastikan Belanjawan 2027 selaras aspirasi dan keperluan rakyat.
- Cadangan termasuk pusat kawalan Bandar Pintar, insentif kitar semula dan pembiayaan hijau untuk sokong pelaburan teknologi serta pengurusan sisa.
- Cadangan juga merangkumi peningkatan geran Balai Bomba Sukarela, program KPKT Urban Resilient, kemudahan kesihatan warga tua dan infrastruktur Bandar Selamat.
- KPKT akan berbincang dengan Kementerian Kewangan sambil menilai kebolehlaksanaan, keutamaan dan kemampuan kewangan sebelum melaksanakan inisiatif.
Input itu dikemukakan dalam Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menghimpunkan 350 pemegang taruh daripada pelbagai sektor.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sesi berkenaan menjadi platform untuk memastikan perancangan Belanjawan 2027 mengambil kira aspirasi serta keperluan sebenar rakyat dan pemegang taruh.
Selain itu, antara perkara lain yang dibangkitkan ialah penyediaan pusat kawalan bagi menyokong agenda Bandar Pintar, insentif meningkatkan kadar kitar semula serta mekanisme pembiayaan hijau bagi menggalakkan pelaburan dalam teknologi dan pengurusan sisa.
Cadangan turut meliputi peningkatan geran tahunan bagi Balai Bomba Sukarela, pembangunan KPKT Urban Resilient Program, penyediaan kemudahan kesihatan bagi menghadapi cabaran masyarakat menua serta penambahbaikan infrastruktur perbandaran untuk menyokong inisiatif Bandar Selamat.
“Semua cadangan yang dikemukakan amat penting dan akan diteliti KPKT dari aspek kebolehlaksanaan, keutamaan serta kemampuan kewangan semasa Kerajaan.
“Hal ini juga penting bagi memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan bukan sahaja dibelanjakan dengan berhemah, tetapi diterjemahkan kepada hasil, impak dan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 KPKT, di sini.
Nga turut memaklumkan, KPKT akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan pada 3 September ini bagi membincangkan inisiatif yang boleh diketengahkan untuk pertimbangan kementerian berkenaan.
Dalam merangka cadangan Belanjawan 2027, KPKT turut mengambil kira tiga tonggak Ekonomi MADANI membabitkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan strategik, peningkatan kesejahteraan rakyat serta pengukuhan tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam perkembangan sama, lima daripada enam inisiatif signifikan KPKT di bawah Belanjawan tahun ini telah melepasi sasaran ditetapkan, manakala satu lagi berada pada landasan untuk mencapai atau melepasi sasaran menjelang akhir tahun.
Antara pencapaian itu termasuk 304 projek penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam berbanding sasaran 200 projek, selain 102 projek pembinaan Gerai MADANI dan naik taraf pasar awam uzur berbanding sasaran 60 projek.
Turut dilaksanakan ialah 154 projek naik taraf sistem perparitan dan longkang, 367 projek penyelenggaraan tandas awam serta 113 projek pembaikan kuarters dan balai bomba.
Sementara itu, 57 daripada sasaran 64 Program Bomba Bersama Rakyat telah dilaksanakan setakat 31 Julai lalu.