
PUTRAJAYA, 24 Ogos – Pengukuhan tatakelola Lembaga Tabung Haji, TH penting dalam perspektif ekonomi bertujuan memelihara keyakinan kepada institusi negara dan pasaran domestik, seiring momentum pertumbuhan ekonomi semasa.
- TH mengurus amanah lebih 9.8 juta pendeposit dan mempunyai peranan signifikan sebagai pelabur institusi dalam ekonomi domestik.
- Pengurusan pelaburan, disiplin kewangan serta pengurusan risiko perlu diperkukuh untuk melindungi kepentingan pendeposit secara mampan.
- Perkembangan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja 2014–2020 perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh tatakelola, kebertanggungjawaban dan keyakinan institusi negara.
- Kerajaan menghormati proses siasatan; sebarang tindakan perlu dilaksana berlandaskan undang-undang dan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Kenyataan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyebut perkara itu mengambil kira skala dan peranan TH yang kini mengurus amanah lebih 9.8 juta pendeposit, selain mempunyai kedudukan signifikan sebagai pelabur institusi dalam ekonomi domestik.
“Dengan pelaburan melebihi RM96 bilion, pengurusan pelaburan, disiplin kewangan dan pengurusan risiko TH perlu terus diperkukuh bagi memastikan kepentingan pendeposit dilindungi secara mampan.
“Perkembangan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi berkaitan TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 perlu dilihat dalam konteks usaha berterusan memperkukuh tatakelola, kebertanggungjawaban serta keyakinan kepada institusi negara.
Jelasnya, kerajaan menghormati proses siasatan yang sedang berjalan, manakala sebarang tindakan berkaitan perlu dilaksana berlandaskan undang-undang dan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau turut menyatakan usaha memperkukuh institusi itu selari dengan kerangka Ekonomi MADANI dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13, RMK13.
Ekonomi Malaysia berkembang 6.0 peratus pada suku kedua tahun ini, manakala pertumbuhan bagi separuh pertama mencatat 5.7 peratus berbanding 4.5 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.