Bank Dunia semak turun pertumbuhan ekonomi global 2026 kepada 2.5 peratus

Amaran risiko penurunan masih ketara dengan pertumbuhan ekonomi global berpotensi merosot kepada 2.1 peratus

NEW YORK, 12 Jun – Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global kepada 2.5 peratus bagi tahun ini, berbanding 2.9 peratus pada 2025, sekali gus menandakan kadar pertumbuhan terendah sejak penghujung 2019.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga tenaga, inflasi lebih tinggi dan kos pinjaman meningkat akibat konflik Asia Barat menjejaskan prospek pertumbuhan global.
  • Amaran risiko penurunan masih ketara jika gangguan bekalan tenaga berlanjutan dan harga minyak meningkat.
  • Laporan menyemak turun unjuran bagi dua pertiga negara dengan negara Teluk menerima pengurangan terbesar pada 2026.
  • Disaran memastikan keselamatan bekalan tenaga dan makanan, mempercepat peralihan tenaga, kawal inflasi dan kukuhkan kemampanan fiskal.

Bank itu dalam laporan separuh tahun Prospek Ekonomi Global menyatakan kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi serta kos pinjaman yang meningkat susulan konflik di Asia Barat adalah faktor utama semak turun tersebut.

”Terdapat amaran risiko penurunan masih ketara dengan pertumbuhan ekonomi global berpotensi merosot kepada 2.1 peratus.

”Ia dijangka berlaku sekiranya gangguan bekalan tenaga berlanjutan dan harga minyak purata mencecah AS$115 setong tahun ini, sekali gus boleh mendorong inflasi kepada 4.4 peratus,” menurut laporan berkenaan.

Laporan itu turut menyemak turun unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari lepas, dengan negara-negara Teluk menerima pengurangan terbesar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan dijangka mencatat pertumbuhan paling kukuh antara semua rantau pada kadar 6.3 peratus pada 2026, namun masih rendah berbanding 7.0 peratus pada 2025.

Sementara itu, unjuran pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dikekalkan pada 2.2 peratus bagi 2026, walaupun menyatakan angka itu boleh susut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan 2.0 peratus pada 2028.

Menurut laporan itu, pertumbuhan ekonomi global diramal meningkat semula kepada 2.8 peratus pada 2027, namun masih lebih rendah daripada purata yang dicatatkan sepanjang dekad 2010-an.

”Tindakan dasar yang berkesan amat penting, walaupun risiko terus cenderung ke arah penurunan berikutan peningkatan konflik, gangguan lanjut dalam pasaran komoditi serta ketegangan geopolitik yang berterusan.

”Di peringkat global, negara-negara berkaitan perlu memastikan keselamatan bekalan tenaga dan makanan serta mempercepatkan peralihan tenaga. Di peringkat domestik pula, semua negara disaran mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong penciptaan peluang pekerjaan,” jelas laporan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.