Selangor lancar Baucar Kita Selangor, manfaat kepada 50,000 keluarga

Majlis pelancaran Baucar Kita Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam

SHAH ALAM, 22 Jun – Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Baucar Kita Selangor bagi melindungi rakyat daripada terkesan akibat krisis bekalan global dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baucar RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 keluarga untuk membantu kos sara hidup.
  • Penerima terpilih perlu sahkan maklumat dalam talian melalui portal rasmi bermula 12 tengah hari, 23 Jun.
  • Ibu tunggal berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah diberi ruang khas untuk memohon melalui portal yang sama.
  • Kerajaan Negeri meneruskan BINGKAS: RM300 sebulan kepada 30,000 keluarga; jumlah bantuan langsung keseluruhan RM138 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemberian baucar bernilai RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 keluarga di negeri itu merupakan langkah bagi membantu kos sara hidup dalam mendepani cabaran ekonomi.

“Pada masa yang sama, jika dilihat menerusi 15 langkah baharu yang diperkenalkan, terdapat beberapa inisiatif berkaitan keusahawanan yang turut dilaksanakan.

“Sehubungan itu, ia akan digabungkan dengan program kerja yang akan dilaksanakan, di samping dipadankan dengan program pembangunan usahawan yang terkandung dalam 15 langkah yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Latar belakang 50,000 keluarga berkenaan diperolehi daripada mereka yang telah memohon tetapi belum menerima bantuan Kerajaan Negeri seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), serta agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor.

Penerima yang dikenal pasti hanya perlu mengesahkan maklumat secara dalam talian melalui portal rasmi www.baucarkitaselangor.com bermula pukul 12 tengah hari pada 23 Jun.

Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri memberikan ruang khas kepada ibu tunggal yang terpaksa bekerja sambil menyara anak dengan pendapatan isi rumah
RM5,000 dan ke bawah untuk turut memohon bantuan itu dengan melayari portal sama.

Di samping program Baucar Kita Selangor, Kerajaan Negeri juga meneruskan program BINGKAS yang menyalurkan RM300 sebulan kepada 30,000 keluarga
sebagai bantuan supaya keluarga-keluarga ini tidak jatuh ke dalam kepompong kemiskinan.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM138 juta sebagai bantuan terus kepada rakyat supaya sebarang risiko peningkatan kos sara hidup tidak membawa kesan drastik kepada rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.