37 peratus rakyat AS dalam tinjauan percaya perjanjian lebih memihak Iran

Penduduk pulang ke kediaman masing-masing di selatan Lubnan susulan perjanjian sementara antara Amerika Syarikat dan Iran, di Qasmiyeh, daerah Tyre/Foto REUTERS

ISTANBUL, 22 Jun – Satu tinjauan terkini yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) mendapati 37 peratus rakyat AS percaya perjanjian yang dicapai lebih memihak kepada Iran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik stesen penyiar tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 37% percaya perjanjian lebih memihak Iran, 22% kata lebih baik untuk AS.
  • 78% responden menyokong penamatan konflik antara AS dan Iran.
  • 69% ragu perjanjian menghentikan program nuklear Iran secara kekal.

CBS News dan YouGov yang mengendalikan tinjauan berlangsung 17 hingga 19 Jun itu, melibatkan 2,519 orang dewasa berhubung perjanjian yang dicapai dengan Iran.

Hasil tinjauan, 37 peratus responden berkata mereka percaya perjanjian itu “lebih baik untuk Iran”, manakala 22 peratus lagi berpendapat ia “lebih baik untuk AS”.

Kira-kira 78 peratus responden menyatakan mereka menyokong penamatan konflik antara AS dan Iran, manakala 22 peratus lagi mahu konflik diteruskan “sehingga Iran menyerah kalah”.

Mengenai sama ada AS telah menghentikan program nuklear Iran secara kekal, 31 peratus responden menjawab “ya”, manakala 69 peratus lagi menyatakan keraguan.

Apabila ditanya sama ada Iran akan menjadi ancaman kepada rantau itu dalam beberapa bulan akan datang, 59 peratus berkata ia “mungkin/pasti ya”, manakala 40 peratus berkata ia “mungkin/pasti tidak”.

Berhubung sama ada konflik dengan Iran itu berbaloi dengan kos yang ditanggung oleh AS, 31 peratus menjawab “ya”, manakala 69 peratus berkata “tidak”.

Sementara itu, 36 peratus responden bersetuju dengan cara Presiden AS Donald Trump mengendalikan situasi yang melibatkan Iran, manakala 64 peratus lagi tidak bersetuju. – BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.