Pengiktirafan ‘Labaytum Diamond Award’, bukti keunggulan haji Malaysia

Disiplin tinggi jemaah Malaysia sentiasa patuhi peraturan

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pengurusan haji Malaysia terus diiktiraf dunia menerusi penerimaan ‘Labaytum Diamond Award’, sekali gus membuktikan keupayaan negara membangunkan ekosistem haji yang lebih menyeluruh, moden dan berkesan sehingga menjadi penanda aras kepada negara lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kecekapan TH, kerjasama agensi, penggunaan teknologi digital dan AI serta komitmen petugas jemaah menyumbang kepada pengiktirafan antarabangsa.
  • Ekosistem haji merangkumi pengurusan Tabung Haji, perkhidmatan kesihatan, inovasi dan hubungan strategik dengan Arab Saudi.
  • Kos haji dikekalkan tanpa kenaikan tiga tahun berturut-turut; kerajaan dan TH kawal perbelanjaan melalui pilihan penginapan lebih kompetitif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan pengiktirafan berkenaan bukan sahaja mencerminkan kecekapan Lembaga Tabung Haji (TH), malah hasil kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan, penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), serta komitmen petugas dan jemaah haji Malaysia.

“Ia merangkumi keseluruhan ekosistem, daripada pengurusan Tabung Haji, perkhidmatan kesihatan, penggunaan teknologi, inovasi serta hubungan strategik yang baik dengan kerajaan Arab Saudi,” katanya selepas rakaman program Bicara Naratif di Angkasapuri.

Dr. Zulkifli turut memaklumkan antara inovasi yang diperkenalkan tahun ini termasuk inisiatif Haji Lestari yang memberi penekanan kepada amalan kelestarian.

Katanya, disiplin tinggi jemaah Malaysia yang sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga akhlak turut menjadi faktor penting yang menyumbang kepada pengiktirafan antarabangsa itu.

Beliau berkata hubungan erat Malaysia dengan Arab Saudi juga membolehkan negara menikmati pelbagai kemudahan termasuk pelaksanaan program Makkah Route.

Mengulas mengenai isu kos haji, beliau menjelaskan kos yang ditanggung jemaah Malaysia berjaya dikekalkan tanpa kenaikan selama tiga tahun berturut-turut walaupun industri haji berdepan peningkatan kos yang ketara.

“Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, inflasi kos haji direkodkan meningkat melebihi 200 peratus. Namun, kita masih berjaya mengekalkan kadar bayaran haji tanpa sebarang kenaikan untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata kerajaan dan TH terus berusaha mengawal kos melalui pelbagai pendekatan termasuk mendapatkan pilihan penginapan dan perkhidmatan yang lebih kompetitif, selain memastikan setiap komponen perbelanjaan.

Mengulas kritikan terhadap pengkelasan bantuan kewangan haji mengikut kategori B40, M40 dan T20, Dr. Zulkifli berkata pendekatan itu masih diguna pakai berdasarkan keputusan Muzakarah Haji Kebangsaan.

Bagaimanapun, kerajaan sentiasa meneliti ruang penambahbaikan dari semasa ke semasa dan mencari pendekatan terbaik bagi memastikan bantuan kewangan haji dapat disalur secara lebih mampan dan bersasar, tanpa menjejaskan peluang umat Islam untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.