
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Alliance Bank Malaysia Berhad melancarkan BizSmart Challenge Accelerator Edition 2026 yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM2 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula niaga berpotensi tinggi di negara ini.
- Pemenang akan menerima pendedahan jenama, latihan perniagaan dan akses pembiayaan sehingga RM20 juta pada kadar keutamaan.
- Program dipertingkat berdasarkan maklum balas pengasas untuk membina ekosistem yang menyokong pengembangan PKS dan pemula niaga.
- Sejak 2013, program menyalurkan lebih RM6.2 juta dan membantu lebih 185 perniagaan melalui bimbingan strategik dan akses modal.
- Terbuka kepada PKS dan pemula niaga Malaysia beroperasi 1 hingga 10 tahun, perolehan RM500,000 hingga RM40 juta; permohonan hingga 2 Ogos 2026.
Menurut bank itu, pemenang turut layak menerima pendedahan jenama, latihan perniagaan serta akses kepada pembiayaan sehingga RM20 juta pada kadar keutamaan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kellee Kam berkata walaupun ketidaktentuan geopolitik global masih berterusan, inisiatif itu menjadi platform penting untuk PKS dan syarikat pemula niaga meningkatkan keupayaan serta daya saing.
“Dalam beberapa tahun ini, kami mahu memastikan kami dapat membantu usahawan, pengasas dan PKS yang mempunyai idea yang menarik tetapi memerlukan platform untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Melalui BizSmart Challenge, kami terus menambah baik program ini berdasarkan maklum balas daripada lapangan, mendengar pandangan pengasas serta memahami isu sebenar yang mereka hadapi, dan seterusnya membina ekosistem yang dapat membantu mereka melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran, di sini hari ini.
Menurut Alliance Bank, program yang diperkenalkan sejak 2013 itu telah menyalurkan lebih RM6.2 juta dalam bentuk hadiah wang tunai, pendedahan media serta sokongan pembangunan perniagaan, selain membantu lebih 185 perniagaan melalui bimbingan strategik dan akses modal.
Bagi edisi tahun ini, tumpuan diperluas kepada akses pelaburan dan sokongan modal, peluang pembiayaan alternatif di luar perbankan tradisional serta program pembangunan dipercepat bagi memperkukuh keupayaan perniagaan.
Antara elemen utama program itu ialah sesi pembentangan pantas selama 60 saat, iaitu usahawan perlu meyakinkan panel juri untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Sempena program itu, Alliance Bank turut akan menganjurkan BizSmart Business Conference edisi ketiga pada 6 Oktober 2026 dengan tema “From Local Champions to National Icons”.
Program BizSmart Challenge Accelerator Edisi 2026 ini terbuka kepada PKS dan syarikat pemula niaga berdaftar di Malaysia merangkumi semua industri dan sektor.
Syarikat yang layak mestilah beroperasi antara satu hingga 10 tahun dengan perolehan tahunan antara RM500,000 hingga RM40 juta.
Permohonan dibuka mulai hari ini sehingga 2 Ogos 2026. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi www.bizsmart.com.my.