Asia dijangka jadi tumpuan baharu ekonomi global

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 14 April – Ketegangan geopolitik di Asia Barat berpotensi mencetuskan perubahan jangka panjang terhadap struktur ekonomi global, dengan tumpuan dijangka beralih ke Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Asia dan ASEAN dijangka menjadi hab perdagangan utama dunia dalam dekad akan datang.
  • Malaysia boleh mengetengahkan peranan ASEAN bagi memudahkan perdagangan serantau dan hubungan dengan China, Jepun, Korea serta Taiwan.
  • China dijangka muncul sebagai kuasa ekonomi utama, khususnya dalam sektor perdagangan dan perkhidmatan kewangan.
  • Lebih banyak negara mungkin beralih kepada mata wang alternatif untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat.

Pakar ekonomi dan Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, perkembangan itu boleh menjadikan rantau Asia dan ASEAN sebagai hab perdagangan utama dunia dalam dekad akan datang.

“Malaysia misalnya boleh menonjolkan peranan ASEAN sebagai pasaran serantau, yang memudahkan perdagangan antara negara jiran serta dengan negara Asia Timur seperti China, Jepun, Korea dan Taiwan,” katanya kepada RTM.

Tambahnya, perubahan landskap itu membuka peluang kepada negara Asia untuk memperkukuh kedudukan dalam perdagangan antarabangsa.

Dalam masa sama, China dijangka muncul sebagai kuasa ekonomi utama dunia, khususnya dalam sektor perdagangan dan kewangan.

Beliau turut berpandangan lebih banyak negara akan beralih kepada penggunaan mata wang alternatif dalam perdagangan antarabangsa bagi mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat.