Asas ekonomi domestik kukuh dijangka sokong pertumbuhan Malaysia menjelang 2027

Foto hiasan janaan AI/ RTM

KUALA LUMPUR, 19 November – Asas ekonomi domestik yang kukuh dijangka terus menjadi penampan kepada Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global menjelang 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan 2027 dan Kerangka Ekonomi MADANI menyediakan perancangan kukuh untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
  • Malaysia menunjukkan daya tahan terhadap kejutan luaran 2025 walaupun tarif timbal balas, mengekalkan pertumbuhan ekonomi positif.
  • Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan dijangka menyokong pertumbuhan; KDNK suku ketiga 2026 berkembang melebihi anggaran.

Felo Bersekutu Kanan Institusi Dasar Ekonomi & Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berkata, pelaksanaan Belanjawan 2027 dan Kerangka Ekonomi MADANI menyediakan perancangan yang baik dalam memperkukuh daya tahan ekonomi domestik.

“Pada 2025, kita berdepan satu keadaan luar biasa apabila Presiden Amerika Syarikat memperkenalkan tarif timbal balas. Namun, Malaysia masih berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus.

“Justeru, saya berpendapat ekonomi negara sudah mempunyai kekuatan dan terbukti berupaya menghadapi cabaran-cabaran akan datang,” katanya ketika menjadi tetamu Biz Malaysia.

Mengulas prestasi ekonomi pada suku ketiga 2026, beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus mencerminkan daya tahan ekonomi negara meskipun lebih rendah berbanding pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua.

Felo Bersekutu Kanan Institusi Dasar Ekonomi & Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin./ Foto UUM

Katanya, pertumbuhan ekonomi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini yang mencapai 5.6 peratus turut mengatasi unjuran kerajaan antara 4.8 hingga 5.3 peratus.

“Prestasi itu sudah melepasi unjuran pertumbuhan ekonomi yang ditetapkan kerajaan, iaitu antara 4.8 hingga 5.3 peratus. Malah, pertumbuhan 5.5 peratus pada suku ketiga ini merupakan antara yang tertinggi di rantau ini dan juga di dunia.

“Saya tidak mahu membuat perbandingan dengan negara maju. Namun, jika dibandingkan dengan negara sedang membangun, pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih tinggi berbanding China dan setanding dengan Indonesia,” katanya.

Menurut beliau, antara sektor yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara ialah sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang positif dengan pertumbuhan 5.5 peratus bagi suku tahun ketiga 2026, melepasi anggaran awal 5.3 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.